Setiausaha agung PSM, S Arutchelvam berkata golongan berpendapatan rendah tidak mendapat banyak manfaat daripada skim pinjaman mikro sedia ada melalui bank.
"Secara umumnya, kita desak supaya kerajaan mengambil alih peranan yang dimainkan oleh along dan ceti haram," katanya menjelaskan kandungan memorandum yang diterima oleh wakil khas perdana menteri, Ravin Ponniah.
Katanya, golongan berkenaan masih dibeban dengan bayaran faedah tinggi yang ditetapkan sekiranya membuat pinjaman melalui bank.
"Kemudian, jika dia tidak mampu bayar satu pinjaman di sebuah bank, dia tidak boleh lagi pinjam di bank lain kerana sudah disenarai hitamkan," katanya lagi.
Tambahnya, bank juga menetapkan banyak syarat sebelum sesuatu permohonan pinjaman itu diluluskan.
Jelasnya, bentuk pinjaman seperti itu akan dapat membantu golongan yang diberhentikan kerja sementara mendapatkan pekerjaan lain.
"Menurut anggaran kita, kira-kira 50 peratus golongan pekerja berpendapatan rendah tidak mampu membayar pinjaman yang dibuat. Yang selebihnya cuma mampu bayar bunga sahaja.
Jelasnya, skim pinjaman mudah seperti itu akan membolehkan peminjam menanggung bunga sebanyak RM13.33 sahaja bagi pinjaman berjumlah RM4,000.
Katanya lagi, pinjaman tersebut boleh disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti Bank Simpanan Nasional ataupun Pos Malaysia Berhad.
"Sebab kita tengok polis pun tidak dapat kawal along ini. Di mana-mana pun mereka boleh lekatkan iklan mereka," katanya lagi dan menambah, langkah itu akan membolehkan masyarakat kembali mendampingi kerajaan.
MEMORANDUM SEPENUHNYA
KERAJAAN HARUS GANTI TEMPAT CETI DAN ALONG UNTUK SEDIAKAN SKIM PINJAMAN MUDAH UNTUK RAKYAT
Pengenalan
Bagi golongan berpendapatan rendah dan kelas menengah rendah, kebanyakkan mereka terjerat dengan hutang yang kena dibayar kepada along dan ceti. Mereka ini susah mendapat pinjaman dari Bank atau Instutusi kewangan yang lain dan terpaksa mencari along dan ceti. Yang menyedihkan ada diantara mereka, pergi meminjam wang dari along/ceti untuk menjelaskan bayaran tertunggak di bank demi untuk menyelamatkan harta mereka daripada disita atau dilelong.
Golongan alaong dan ceti ini semakin memainkan peranan dan iklan mereka membanjiri setiap kawasan. Pihak Penguatkuasa, polis dan pihak Kerajaan sendiri tidak dapat mengawal golongan ini yang menggunakan pelbagai cara untuk memeras ugut wang daripada pihak yang meminjam. Namun demikian, along dan ceti ini memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah kewangan rakyat berpendapatan rendah dan menengah rendah.
Ini berlaku kerana Kerajaan dan Bank tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat biasa dan mereka terpaksa pergi kepada along dan ceti.
Sudah tiba masanya, Kerajaan mengantikan peranan yang dimainkan oleh ceti dan along dan menyediakan skim pinjaman mudah.
Punca Permasalahan
Bagi masyarakat berpendapatan rendah dan dalam keadaan dimana tidak ada akta Gaji minima dan rakyat pada amnya berpendapatan rendah, maka mereka boleh terjerumus dalam jerat along dan ceti ini dengan amat senang sekali. Kewangan mereka yang ketat boleh menyebabkan jika mereka tidak dapat membayar hutang untuk 2 bulan, maka amat susah untuk mereka menyesaikan bayaran tertunggak ini.
Selain itu, ekoran krisis ekonomi global yang melanda negara kita, antara lapisan masyarakat yang semakin dimangsakan adalah pekerja gaji rendah yang telah mendapatkan pinjaman bank komersial untuk membeli rumah.
Perjatuhan hebat dalam pendapatan isi keluarga akibat pembuangan kerja, pengurangan kerja lebih masa dan pengurangan hari kerja mengakibatkan keadaan di mana mereka diancam dengan penarikan balik rumah yang dibeli dengan susah payah.
Di dalam keadaan di mana tidak ada alternatif pinjaman lain, mereka terpaksa meminjam wang dari along dan ceti dengan kadar bunga yang tinggi untuk menyelamatkan harta mereka.
Akhirnya mereka menjadi lebih miskin, hutang melipat ganda dan dalam banyak kes, tidak dapat selamatkan rumah mereka.
Langkah-langkah segera dan berkesan harus diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah hutang toksik yang wujud di kalangan pekerja gaji rendah apabila keadaan kewangan mereka terjejas.
Hutang toksik
Hutang toksik adalah keadaan dimana hutang sepatutnya menyelamatkan seorang dari masalah tetapi ada kalanya hutang pula membinasakan kehidupan seseorang itu. Terdapat banyak kes dimana orang membunuh diri kerana masalah hutang ini. Maka sebagai sebuah kerajaan yang emndahulukan rakyat, maka masalah rakyat wajib diutamakan.
Berikut adalah contoh klasik keadaan hutang toksik:
Kes 1
Wati dan ibunya (dari Ipoh) telah mendapat pinjaman bank untuk beli rumah kos rendah dengan bayaran ansuran bulanan RM500. Akibat krisis ekonomi, ibunya dibuang kerja, dan Wati sendiri kehilangan kerja lebih masa sehingga pendapatan keluarganya jatuh ke RM500 se bulan. (Ibunya juga tidak dapat mencari kerja lain sebab beliau jatuh dan tercedera di rumah).
Mereka telah tidak dapat bayar hutang (default)t ke atas pinjaman mereka dan hutang tertunggak mereka meningkat ke RM7, 000. Bank menghantar notis tindakan undang-undang. Juga bank memfail kes di mahkamah untuk mendapatkan perintah lelong. Untuk selamatkan rumah mereka, mereka telah meminjam RM4,000 dari ceti dengan kadar bunga 10% sebulan, dan menjelaskan separuh hutang ke bank. Bayaran bunga sahaja kepada ceti adalah RM400 se bulan.
Dengan campur tangan Bank Negara, bank komersial kemudian membantu mereka mengurangkan bayaran ansuran ke RM250 se bulan. Ini dilakukan selepas wang dari Akaun II, KWSP kedua-dua Wati dan ibunya dikeluarkan dan dibayar kepada bank. Tambahan pula bank juga dapat janji bertulis bahawa apabila ibu Wati mencapai umur 55 tahun pada bulan Mac akan datang, semua tunggakannya akan dijelaskan dengan wang itu.
Tetapi selepas bantuan bank, Wati dan ibunya masih menanggong bayaran pinjaman sebanyak RM 650 se bulan – Rm 250 untuk bank dan RM 400 untuk ceti. Dan ini tidak mengambil kira bayaran yang harus dilakukan ke atas modal pinjaman ceti.
Kes 2 – Vasuge (Dari Kajang)
Keluarga ini membuat pinjaman untuk rumah dan kereta tetapi disebabkan si suami terpaksa menjalani pembedahan pada tahun 2005, mereka tidak membayar pinjaman bulanan. Mereka terpaksa hidup dengan wang si isteri iaitu gaji sebanyak RM 550 sebulan.. Bank mula memulakan operasi melelong rumah dimana mereka berjaya membuat penstukturan balik untuk rumah manakala untuk kereta, walaupun mereka membuat pinjaman RM 31,000 dan ada baki hanya RM 8,000, tetapi sudah mendapat kes dimahkamah setelah 5 bulan gagal membayar. Justeru mereka terpaksa meminta wang dari along iaitu RM 4,000 dan hari ini mereka hanya mampu membayar wang bunga sahaja iaitu RM 400 sebulan. Masalah keluarga ini timbul apabila seorang ah;li keluarga sakit dan selepas itu ia menyebabkan satu masalah demi satu masalah sehingga akhirnya masalah menjadi sudah untuk diatasi dan menjadi toksik.
Bantuan yang perlu untuk keluarga seperti Wati dan Vasuge adalah punca pinjaman dengan bunga yang rendah supaya mereka dapat menyelesaikan pinjaman ceti. Beribu-ribu pekerja biasa di Malaysia adalah terperangkap dalam keadaan seperti ini.
Punca-punca utama yang menyebabkan hutang toksik
i. Gaji rendah – harga barang tinggi dan Pergantungan kepada gaji lebih masa
Secara mudah, hutang toksik berlaku kerana masyarakat pendapatan rendah tidak mampu mem membeli rumah yang harganya naik berlipat ganda berbanding dengan gaji. Ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan pendapatan dan wang lebih dari seorang untuk membuat bayaran rumah.
Walaupun gaji pekerja amat rendah (tanpa Akta Gaji Minima) mereka bergantung kepada kerja lebih masa dan pendapatan ahli keluarga lain untuk membantu membeli rumah. Dan jika sebuah Syarikat yang bergantung kepada pasaran bebas, maka syarikat tersebut mungkin dari masa kesemasa, mengurangkan kerja shif atau kerja OT. Ini akan member kesan langsung kepada pekerja kerana gaji mereka hanya cukup dengan wang lebihan masa
ii. Krisis ekonomi menjadi trigger faktor pencetus
Apabila berlaku sebarang krisis dalam ekonomi negara seperti sekarang, pendapatan isi rumah jatuh dengan teruk dan keluarga yang terbabit tersangkut. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan pinjaman dan kebanyakan bank juga tidak bersimpati atau memberikan pakej penyelesaian yang bukan berpihak kepada peminjam. Dalam keadaan terdesak ini, maka ramai yang terpaksa mencari along dan ceti.
iv. Tiada pinjaman selain dari pinjaman ceti dan along
Hutang toksik wujud kerana tidak ada mekanisme yang diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu masyarakat yang terjejas mendapatkan bantuan pinjaman untuk menjelaskan ansuran bulanan, maka mereka terpaksa meminjam daripada pihak informal seperti along dan ceti.
Akibat kadar bunga yang tinggi, bayaran bulanan mereka melambung naik dan jumlah pinjaman meningkat. Di samping itu semua sumber kewangan – simpanan semasa dan untuk masa depan - dipakai, dan yang amat teruk akhirnya juga mereka tidak dapat selamatkan harta benda mereka. Ada pula yang membunuh diri kerana tidak dapat menangani isu ini
Kerajaan harus wujudkan skim pinjaman mudah dengan segera.
Masalah hutang melambung boleh diatasi dengan adanya satu skim pinjaman mudah yang diwujudkan oleh kerajaan bagi mengambil alih peranan ceti dan along. Ia boleh selamatkan pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan dan membantu mereka selamatkan harta benda mereka.
Skim tersebut haruslah berfaedah rendah, kurang dari 4%, dan tanpa syarat-syarat yang dikenakan oleh bank komersial.
Peminjam (Lender) | Kadar bunga | Bayaran bunga sebulan |
ceti/along | 10% se bulan | RM400 |
Skim pinjaman mudah | 4% se tahun | RM13.33 (4% x 4,000 = RM160 ÷ 12) |
Memandangkan kerajaan kita telah menggunakan wang KWSP sebanyak RM 5 bilion untuk mewujudkan institusi “Valuecap” untuk membantu pemegang saham di bursa Malaysia, apa salahnya mewujudkan suatu skim pinjaman untuk memberi perlindungan pada pekerja dan peniaga kecil kita yang terbabit dalam perangkap pinjaman toksik.
Tuntutan
1. Kerajaan mesti memulakan Skim Pinjaman Mudah yang mengenakan bayaran kadar bunga yang rendah dan mampu diselesaikan oleh rakyat
2. Skim ini mesti mudah dan tanpa banyak birokrasi atau syarat
3. Kepada mereka yang terjerat dengan bayaran along dan ceti, kerajaan mesti campurtangan dan membantu mereka menyelesaikannya dengan membolehkan bayaran pinjaman diambilalih.
4. Kerajaan juga melalui Bank Negara harus memastikan penstukturan semula pinjaman oleh Bank mesti sesuatu usaha yang menyelesaikan masalah daripada merumitkan masalah yang dihadapi oleh para pemimjam.
Daripada
Dr. Nasir Hashim
Pengerusi
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan