Suatu kisah benar tetapi amat melucukan pernah berlaku di Mahkamah Rakyat di Lambor Kiri di mana seorang kader PKM Cina menjadi hakim mengadili kes penduduk kampung tidak hadir solat Jumaat. Kisah ini telah diceritakan oleh Abdullah C.D. dalam memoir bahagian pertamanya yang bertajuk Zaman Pergerakan Sehingga 1948. Di bawah adalah petikan tulisan beliau.
Mahkamah RakyatJawatankuasa Liga Rakyat Anti-Jepun mengadakan mesyuaratnya secara berkala. Melalui mesyuarat inilah mereka mengkaji kekurangan dan kelebihan untuk menimba pengalaman pada masa hadapan. Setiap kali mesyuarat diadakan, ada-ada sahaja masalah yang dikemukakan seperti perbalahan sesama sendiri, melanggar undang-undang Pasukan Simpanan Anti-Jepun dan lain-lain yang berkaitan dengan peraturan dan keamanan kampung. Jadi untuk menyelesaikan masalah itu, kami bentuk suatu mahkamah. Pada mulanya ia merupakan mahkamah biasa sahaja. Akan tetapi perkembangannya amat menggalakkan dan akhirnya ia berfungsi sebagai mahkamah rakyat yang membicarakan masalah seluruh kampung.
Apabila mahkamah dibuka, semua orang dijemput hadir. Hakim, biasanya terdiri dari seorang kader PKM, kadang-kadang saya sendiri. Hakim akan meminta ahli jawatankuasa membacakan semua perkara yang hendak dibicarakan dan setiausaha akan mencatat semuanya. Kemudian hakim akan menyoal orang yang didakwa dan meminta penjelasan atau bela diri. Setelah itu hakim akan meminta fikiran daripada orang ramai yang hadir di situ. Pandangan orang ramai itu kemudiannya disintesiskan dan dijadikan keputusan. Setelah itu hakim akan membawanya sekali lagi kepada orang ramai dan diadakan undian secara angkat tangan. Apabila majoriti hadirin mengangkat tangan, maka keputusan itu dikira sah.
Pada suatu hari mahkamah dibuka di Lambor Kiri. Kerana saya ada urusan mustahak, maka saya tidak dapat hadir. Jadi seorang kader parti Tionghua yang menjadi hakimnya. Perkara yang hendak dibicarakan amat lucu iaitu masalah orang-orang yang melanggar peraturan masjid. Seorang ahli keluarga saya, Zainal Abidin didapati bersalah kerana berturut-turut tidak menghadiri tiga kali sembahyang Jumaat di masjid. Apabila didakwa, dia mengaku bersalah di hadapan orang ramai dengan penuh keinsafan. Dia didenda lima ringgit dan mengangkut air dan pasir untuk tiga kali Jumaat. Apabila bertemu dengan saya kemudiannya, dia mengatakan bahawa kalau perbicaraan itu diadakan oleh British atau Jepun, sudah tentu dia tidak akan hadir, tetapi ini diadakan oleh pakatan seluruh rakyat, dia mematuhinya dengan tulus ikhlas. Kebetulan pula Zainal Abidin masa itu sudah menunaikan fardu haji di Mekah. Maka kejadian ini menjadi cerita lucu orang ramai kerana seorang Tok Haji dihukum tidak sembahyang Jumaat oleh seorang Tionghua. Kerana mahkamah ini benar-benar bercorak rakyat, mengikut kehendak masyarakat di situ, maka ia disokong dan dipuji oleh orang ramai. Akan tetapi penjahat-penjahat seperti pencuri, perompak dan lain-lain amat takut kepadanya kerana mereka sukar menyembunyikan kejahatannya kerana semua orang akan menjadi saksi dan akan mengadili kejahatannya dengan teliti.
Dari Buku Memoir Abdullah CD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan