THE INTERNATIONALE

free counters
COUNTER THE INTERNATIONALE INI MULA BEROPERASI PADA 17 DECEMBER 2009

AHLI KELAB SOSIALIS HIJAU

JIKA PAS JOIN UMNO ADAKAH ANDA AKAN

PANAS !! Nantikan siri-siri Pendedahan Jahat Mereka

Selasa, 19 Januari 2010

SIRI KISAH PEJUANG TANAH AIR - JASMAN KADER


Nama sebenar Jasman ialah Jamal bin Haji Sulaiman, tetapi beliau menggunakan nama samaran sebagai J.H. Jasman. Beliau lahir di sebuah kampung di Sengarang, Batu Pahat, Johor pada tahun 1918. Ibu bapanya berasal dari Kalimantan Selatan (masa itu di bawah pemerintahan Belanda) dari suku bangsa Banjar.

Jasman mendapat pelajaran awal di sekolah kampung dengan bayaran sendiri. Setahun kemudian dia meneruskan pelajaran di Sekolah Melayu Parit Kemang, Sengarang dan di sebelah petangnya pula belajar sekolah Arab. Beliau lulus darjah lima sekolah Melayu dan mendapat pilihan menjadi guru pelatih.
Akan tetapi kerana beliau tidak mempunyai surat beranak, beliau tidak diakui sebagai guru pelatih bahkan diberhentikan terus dari sekolah. Di sekolah Arab pula beliau lulus darjah enam dan juga ditawarkan menjadi guru pelatih. Kemudian beliau meneruskan pelajaran Inggeris di sekolah swasta sebelah petang dengan bayaran sendiri. Pelajarannya terhenti kerana pencerobohan Jepun ke atas Malaya.

Setelah fasis Jepun menduduki Malaya, beliau dan isteri menyertai gerakan anti-Jepun pada Mei 1942. Kemudian beliau bersama 43 orang pemuda Melayu yang menganggotai organisasi anti-Jepun dijemput menyertai kursus politik dan latihan militeri selama 27 hari. Melalui kursus politik dan militeri ini mereka telah mendapat kesedaran yang lebih mendalam dan memperkuatkan tekad juang menentang fasis Jepun demi kemerdekaan tanah air. Beliau diatur menjalankan tugas menyusun orang ramai, memberi penerangan, mengutip yuran dan derma, mengadakan rapat-rapat umum dan lain-lain. Pekerjaannya berkembang ke seluruh Batu Pahat. Di bawah pimpinan beliau, kampung-kampung Melayu di Batu Pahat telah disusun ke dalam organisasi anti-Jepun.

Menjelang akhir Perang Anti-Jepun, di kawasan Batu Pahat telah berlaku peristiwa pembunuhan besar-besaran akibat hasutan fasis Jepun. Jasman dan kawan-kawan lain dalam organisasi anti-Jepun bahagian Melayu berusaha mencegahnya dan menyiasat duduk perkara sebenarnya dalam keadaan yang amat bahaya. Akan tetapi kerana pertentangan antara orang Melayu dan orang Tionghua semakin serius, maka organisasi anti-Jepun seperti lasykar rakyat dan lain-lain di kampung menjadi kucar kacir, kader-kader bahagian Melayu turut menjadi mangsa serangan kumpulan parang panjang. Jasman dan sembilan orang kawan pernah terkepung, tetapi berjaya berundur ke Johor Bahru bersama pasukan TAJRM. Sementara itu kawan-kawan lain di bawah pimpinannya telah terputus hubungan sama sekali.

Pada Januari 1945, Jasman diterima sebagai anggota PKM. Pada bulan Februari 1947, beliau dilantik sebagai Setiausaha Jabatan Kerja Melayu Johor. Menjelang darurat, beliau menghadiri kursus politik dan militer di Sekolah Parti Kem Se-Malaya. Apabila tercetusnya darurat, beliau memimpin pasukan Melayu di Johor dan Melaka dan bergerak di kawasan Tangkak Barat – Melaka.


Bergabung Dengan Rejimen Ke-10 Di Temerloh

Kira-kira awal 1953, Jasman memimpin sejumlah kawan-kawan Melayu yang bergerak di kawasan Tangkak, Melaka datang ke Pahang bergabung dengan Rejimen Ke-10. Antara mereka yang masih saya ingat ialah Suti.

Jasman dan kawan-kawan Melayu Melaka.
Kedua dari kiri ialah Jasman dan
kedua dari kanan ialah Suti

Jasman adalah kader peringkat Negeri Jabatan Kerja Melayu bertanggungjawab di bahagian Melaka. Beliau ikut serta dalam perkumpulan Sekolah Parti Kem Se-Malaya di Lubuk Kawah, Temerloh pada bulan Jun 1948. Seorang kawan lagi ialah Suti. Dalam masa aman dia keluar negeri. Tapi apabila Darurat diisytiharkan, dia balik untuk menyertai perjuangan bersenjata.
Ketika itu di Melaka terdapat ramai orang API / PETA, PKMM dan lain-lain di bawah pengaruh Dr. Burhanuddin mahu menyertai perjuangan bersenjata. Tetapi kerana Undang-Undang Darurat, mereka tak dapat berhubung dengan organisasi PKM. Kerana itu mereka secara beramai-ramai masuk menjadi askar Melayu menunggu peluang menyertai perjuangan bersenjata.

Mengikut laporan dari Jasman dan Suti, mereka yang bergabung dengan pasukan Tionghua di Melaka telah menghubungi Rashid Maidin melalui seorang budak penggembala lembu. Mereka telah menjanjikan isyarat bendera merah sebagai sasaran bagi Rashid Maidin bergabung dengan pasukan gerila. Setelah bergabung, mereka dibom hebat oleh tentera penjajah British. Akhirnya Rashid Maidin dapat dihantar ke Rejimen Ke-10 di Pahang dengan selamat.

Jasman pernah membuat sumbangan besar dalam masalah menyelesaikan peristiwa Siao Liu tahun 1949 - 1950. Siao Liu bekas Wakil Pengarah Jawatankuasa Kerja Kecil Tentera Ke-2 Johor - Melaka. Dia memutuskan hubungan dengan Jawatankuasa Wilayah, semua keputusan tak disampaikan kepada kawan-kawan. Siao Liu cuba melakukan pemecah belahan dengan membuat programnya sendiri: Katanya inilah "Kunci Revolusi Malaya." Dia mengemukakan untuk "membahagi-bahagikan ladang getah secara sama rata". Di samping itu dia juga mengemukakan harus melakukan pertempuran-pertempuran siang malam. Tapi apabila menghadapi serangan kempen kepung basmi musuh secara besar-besaran, dia menjadi luntur semangat dan berkata pula "situasi Malaya sekarang belum matang lagi, perjuangan bersenjata tak sesuai". Maka itu pasukan bersenjata harus dibubarkan. Semua kawan tak dibenarkan keluar dari perkhemahan, semuanya harus ikut keputusannya.

Jasman dan kawan-kawan Melayu di sana menentang tindakan Siao Liu itu. Dengan menggunakan alasan hendak pergi ambil kad pengenalan, Jasman memimpin kawan-kawan Melayu menghubungi Jawatankuasa Wilayah dan menyampaikan laporan terperinci mengenai Siao Liu. Jawatankuasa Wilayah telah menghantar satu pasukan tentera bersama dengan unit pimpinan Jasman ke Melaka. Mereka telah membekuk Siao Liu. Dengan itu rancangan Siao Liu yang cuba mengkhianati pasukan bersenjata berjaya dibongkar dan digagalkan. Kawan-kawan pasukan itu dapat diselamatkan. Ini satu sumbangan besar Jasman dan kawan-kawan Melayu Melaka kepada perjuangan bersenjata.

Setelah tiba di Rejimen Ke-10, Jasman dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen Ke-10. Berdasarkan ketetapan Jawatankuasa Pusat dan Markas Agung, Jasman memimpin sebahagian pasukan Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Dewan Sentral Komiti Selatan Malaya (DCCSM) manakala saya pula memimpin sebahagian Rejimen Ke-10 di bawah pimpinan Dewan Sentral Komiti Utara Malaya (DCCUM).

--- dipetik dari Memoir Abdullah C.D. (Bahagian 1 dan 2), terbitan SIRD.

Tiada ulasan: