Pada 29 Oktober 2009, rakyat sekali lagi meghadapi berita ADUN Pakatan Rakyat melompat menjadi ADUN “ BN Friendly”. YB Badrul Hisham adalah katak yang terkini selepas 3 orang ADUN PR yang lompat parti di Perak yang menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat tumbang.
Persoalan sekarang ialah apa rakyat nak buat bila wakil rakyat yang dipilihnya lompat parti? Adakah kita sebagai pengundi, mengundi mengikut calon ataupun manifesto parti? Adakah kita hendak biarkan wakil rakyat kita buat sesuka hati dengan mandat yang kita beri? Apakah tugas seorang wakil rakyat ?
Tugas sebenar seorang wakil rakyat adalah seperti berikut :
Seorang wakil rakyat sepatutnya :
- Selalu melawat kawasan dan penduduknya untuk mengetahui masalah dan aspirasi rakyat dikawasannya
- Pastikan pusat perkhidmatan rakyat sentiasa dibuka dan wakil ADUN haruslah bertugas untuk menerima aduan dan isu dari rakyat setempat
- Sekiranya ada undang-undang baru didebatkan di Dewan Undangan Negeri , ADUN perlu berbincang dan maklumbalas dari rakyat kawasannya harus diambil kira mengenai undang-undang
- Masalah rakyat setempat seperti banjir, masalah bekalan air, masalah jalanraya, lampu isyarat dan sebagainya harus dipertengahkan dan di selesaikan
- Peruntukkan kerajaan harus diberi kepada mereka yang paling memerlukan dan mengikut keperluan sebenar rakyat dan digunakan untuk projek kepentingan rakyat setelah mendapat maklumbalas dari rakyat
- Sentiasa bersama rakyat dan sanggup berjuang demi tuntutan adil rakyat
Kalau kesemua tugas ini tidak dibuat apa gunanya jadi ADUN atau Ahli Parlimen. Lagipun kebanyakkan kita mengundi tengok parti dan calon yang bertanding. Terutamanya di pilihanraya Mac 08, ramai calon Pakatan Rakyat menang kerana parti dan bukan calon semata-mata kerana banyak muka baru.
Maka dalam keadaan ini , adakah wajar kita berdiam diri kalau wakil rakyat tukar parti sesuka hati ? Tidak boleh. Kerana kalau kita berdiam diri, wakil rakyat lain akan berani membuat benda yang sama.
Maka adalah perlu untuk pengundi sedar akan hak mereka. ADUN @ MP sepatutnya berkhidmat untuk pengundi dan bukan sebaliknya.
Untuk memastikan pengundi tidak ditipu lagi, parti-partim politik haruslah memastikan calon mereka adalah betul –betul layak untuk bertanding. Sebelum bertanding di sesuatu kawasan, seorang calon haruslah telah berkhidmat di kawasan itu untuk sekurang-kurangnya 2-5 tahun.
Tugas rakyat pula semasa pilihanraya masa depan ialah sebelum memberi undi anda ; tuntutlah supaya calon di kawasan anda :
- Menandatangani perjanjian dengan masyarakat kawasan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat
- Membuat perjanjian bertulis juga yang kalau dia hendak lompat parti , dia akan letak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
- Memberitahu butir-butir asetnya kepada awam, supaya selepas menang kalau dia tiba-tiba menjadi kaya, maka kita tahu dia menyalahgunakan kuasanya
Kita sebagai pengundi yang bijak dan bertanggungjawab haruslah memastikan hak kita tidak dicabuli.Perubahan yang hendak kita lakukan melalui proses undi tidak akan membawa apa-apa makna kalau wakil rakyat dibiarkan untuk bermaharajalela tanpa mengendahkan pengundinya. Kita perlukan perubahan tulen. Kalau wakil rakyat tidak menunaikan janjinya, tak payah tunggu pilihanraya depan, tak payah tunggu 5 tahun. Perlunya ada undang-undang ataupun pengundi harus memaksa ada undang-undang supaya kalau wakil rakyat tidak berkhidmat atau mungkir janji maka pengundinya boleh membuangnya dari tanggungjawab tersebut.
PILIHLAH WAKIL RAKYAT YANG BERJIWA RAKYAT DAN IKHLAS DALAM PERJUANGAN RAKYAT PADA PRU KE 13 DAN SETERUSNYA !
JARINGAN RAKYAT TERTINDAS(JERIT)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan