Hakikatnya
"Third Force Often Ends Up Third". Isu adalah mengapa bina kuasa ketiga jika sistem politik yang sedia ada dapat menangani permasalahan rakyat.
Adakah PSM dilihat hari ini sebagai kuasa ketiga? Jawapan yang ikhlas untuk soalan ini adalah tidak. PSM masih belum memainkan peranan yang cukup untuk menonjol dirinya sebagai kuasa ketiga. PSM masih dalam proses dual iaitu membina parti dan membina kuasa rakyat melalui pendidikan idelogi dan aksi massa.
Adakah PSM sebuah parti pak turut kepada Pakatan Rakyat? Jawapannya juga adalah tidak. PSM sering dan sentiasa menonjolkan ide berbeza, membina kuasa rakyat berlandaskan perjuangan kelas dan menjalankan program-program baik kerja pilihan raya mahupun membina gerakan rakyat dengan matlamat memperkasakan rakyat untuk membawa perubahan dari bawah. Pemimpin PSM di Parlimen, DUN dan Kerajaan tempatan telah membawa agenda lain dan berbeza.
Persoalan Pokok mengenai Sistem Dua Parti
Sistem Dua Parti bukan bererti dua sistem. Jika ia membawa dua sistem berbeza maka ia mungkin boleh diterima oleh sebuah parti sosialis seperti PSM tetapi ia hanya bermaksud dalam erti realiti politik umpama pinang dibelah dua, ada pula orang berkata bahawa ia adalah umpama "Coke dengan pepsi".
Namun Sistem Dua Parti diagungkan dan ditonjolkan sebagai sistem politik yang paling demokratik dan paling berkesan dalam sistem politik hari ini. Propaganda ini memang memberi gambaran bahawa sistem Politik mirip Amerika Syarikat seolah-olah yang terbaik di dunia, Media kawalan kapitalis dunia yang dikonkong oleh kaum kapitalis terus mengibaratkan sistem dua parti sebagai sistem yang perfect.
Ini adalah kerana mereka faham bahawa mana-mana pihak yang menang dalam pilihanraya, hanya akan menukar parti politik tetapi bukan sistem pentadbiran negara tersebut. Kepentingan kaum kapitalis tidak tergugat dengan sistem dua parti malah kaum kapitalis terus cuba mewujudkan persaingan tipu dan dari masa ke masa menukar parti demi untuk menjaga kepentingan mereka.
Dalam sistem dua parti, rakyat hanya disajikan dua pilihan dalam menu seperti samada hendak minum Coke atau Pepsimanakala parti-parti lain tidak relevan. Politik Amerika Syarikat sebenarnya persaingan dua parti politik yang mendukung sistem kapitalis iaitu Parti Republican dan Parti Demokrat. Semasa Republikan memerintah , Polisi Bush adalah menambah tentera dan menyerang Iraq. Manakala Obama (gambar kanan) pula membantah dan mengutarakan pandangan untuk membawa pulang tentera dari Iraq tetapi strategi beliau pula adalah serang Afganisthan dengan strategi menambahkan jumlah tentera. Perang yang kedua-dua mereka pimpin adalah dikatakan perang menentang penganas "War against terrorism".
Di Britain, pilihan adalah antara Parti Buruh dan Parti Konservatif. Ada pandangan bahawa yang membezakan dua parti ini hanyalah nama sahaja. Seperti liga bolasepak Inggeris yang semakin membosankan di mana ia didominasi oleh satu dua kelab, politik Britain sejak dulu memang sama.
Satu lagi kelemahan ketara sistem dua parti, ia hanya mengatakan bahawa kuasa itu ditentukan oleh pilihan raya. Setelah rakyat membuat pilihan sekali dalam lima tahun, mereka tidak perlu dirujuk balik atau mereka tidak lagi menjadi penentu sebarang polisi.
Selain itu, tidak boleh dinafikan bahawa perubahan boleh juga berlaku melalui kuasa revolusi di mana rakyat massa mengambil alih kuasa. Ini juga adalah demokratik. Inilah inti sistem dua parti. Sistem yang sama tetapi parti yang berbeza.
Dalam konteks itu, secara terus terang jika PSM menerima sistem dua parti maka ini bererti PSM akan membelakangan idelogi perjuangannya. Maka PSM tidak boleh pada dasarnya menyokong sistem dua parti kerana ia bererti membelakangkan dasar perjuangan PSM.
Jika persoalan ditujukan kepada kami, adakah anda mempromosi satu sistem sosialis. Jawapan adalah cukup jelas iaitu "Ya". Dan untuk mengutarakan satu sistem alternatif sosialis, ia hanya boleh dilakukan apabila kita dapat keluar dari konteks konkongan sistem dua parti.
Sama seperti PAS. Jika wakil PAS ditanya adakah mereka memperjuangkan satu sistem Islam dan jawapannya mesti Ya dan jika jawapan adalah tidak maka pemimpin PAS itu akan dituduh tersimpang dari dasarnya. PSM sebagai parti berlandaskan idelogi Sosialis juga akan berhujah PSM untuk semua tetapi berlandaskan idelogi Sosialis.
PSM berpendirian bahawa kedua-dua parti dalam konteks ini iaitu BN dan PR menyokong sistem pasaran bebas sebagai sistem ekonomi yang dapat membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia. PSM berpendirian bahawa sistem pasaran bebas mewujudkan dan melebarkan jurang antara kaya dan miskin dan merupakan sistem yang memastikan golongan majoriti yang bekerja tidak akan memerintah manakala minoriti kaum kapitalis akan terus memerintah.
Seluruh sistem ini berlandaskan keuntungan dan membawa padah kepada bukan sahaja kepada kesejahteraan rakyat tetapi membawa kemudaratan kepada alam sekitar kita. Oleh yang demikian, kita memajukan sistem sosialis sebagai alternatif. Untuk membina alternatif dalam konteks ini adalah samada kita boleh menjadikan PR lebih sosialis atau membina kuasa ketiga seperti topic hari ini.
Adakah idelogi sosialis masih relevan dalam abad ini dan pada abad yang akan datang? Adakah idelogi sosialis sudah ketinggalan dan tiada harapan? Jika tiada harapan, mengapa kita bercakap mengenai kuasa ketiga? Soalan samada sosialis ini masih relevan atau tidak sepatutnya ditanya kepada Pemerintah Kerajaan Malaysia mengapa mereka masih tidak mahu membenarkan Chin Peng (gambar kiri) yang berusia 90 tahun pulang ke tahahair? Soalan harus ditanya mengapa mereka mengambil 11 tahun untuk mendaftarkan PSM padahal parti lain boleh didaftar dalam masa seminggu? Soalan ini harus ditanya kepada FAKI di Indonesia yang sentiasa gerun apabila golongan kiri mengadakan program. Soalan ini harus ditanya kepada Lee Kuan Yew mengapa kaum kiri masih menghantui beliau dan ia masih bercakap mengenainya. Soalan ini harus ditanya kepada Menteri Dalam Negeri mengapa dokumentari "The last Communist" dilarang.
Soalan ini harus diajukan kepada Obama yang baru-baru ini dimahkotakan pemenang hadiah novel untuk keamanan. Obama terus meneruskan polisi sekatan ekonomi ke atas Cuba dan sedang cuba memainkan peranan untuk menggulingkan kerajaan-kerajaan yang pro-Latin Amerika kepada progam ALBA yang diketuai oleh Venezuela, Cuba dan Bolivar.
Mereka semua tahu bahawa kaum kiri tidak boleh dipatahkan dengan begitu mudah. Mereka semua faham bahawa sistem sosialis bermatlamatkan menukar sistem kapitalis yang sedia ada dan bukan untuk membuat ubahsuai kosmetik. Inilah sebabnya idelogi Sosialis hari ini masih amat relevan.
Dari segi teori Marx pula, ia menjadi bahan rujukan setiap kali ada krisis ekonomi. Namun kepada mereka yang skeptic tentang masa depan sosialis, kami ingin menegaskan bahawa kami, PSM adalah golongan yang lahir setelah keruntuhan tembok Berlin, kami lahir pada pertengahan tahun 1990an, apabila dunia mendendangkan lagu bahawa puak kiri hanyalah peninggalan sejarah.
Bersenjatakan idelogi dan jiwa perjuangan, PSM telah menentang arus dan membina parti politik sosialis. Kami mendapat inspirasi dari kata-kata Che Guevara iaitu Let’s be realistic and do the impossible. Biar relistik dan Buat Keajaiban.
Sejak penubuhan, kini PSM mempunyai 14 Pejabat dan pusat khidmat di seluruh negara. Ini menunjukkan satu perkembangan mengalakkan memandangkan 70% keahlian PSM terdiri dari golongan muda iaitu 40 tahun ke bawah. Perkara yang sama tidak berlaku untuk banyak parti sosialis di dunia hari ini kecuali mungkin di Latin Amerika di mana semangat sosialis membara.
Maka dari segi teori dan prinsip, PSM memang menentang sistem dua parti apabila dua sistem itu sebenarnya adalah satu dan tak berubah.
Pertimbangan Rumit
Namun persoalan yang lebih rumit dan lebih susah adalah persoalan taktikal. Kaum kiri biasanya lebih banyak berpecah kerana menangani isu taktikal ini di mana ia akan dilihat sebagai antara mencairkan idelogi dan fahaman berbanding dengan meluaskan pengaruh dengan cara tidak memencilkan diri.
Dalam persoalan ini, adalah amat penting untuk kita membaca keadaan objektif sesebuah Negara. Jika kita tidak memhami keadaan objektif ini, maka kita mungkin akan membuat penilaian yang salah dan ini akan membawa padah kepada keseluruhan gerakan.
PSM percaya bahawa tidak ada "template" untuk membuat revolusi atau untuk mengambil kuasa. Kita terus belajar dari pengalaman negara lain baik dari Latin Amerika, Nepal dan sebagainya. Tidak dinafikan bahawa ada parti kiri yang mempunyai formula dan template tertentu dan jika seseorang tidak mengikutnya, maka mereka akan dituduh pengkhianat atau revisionist.
Untuk 53 tahun, Malaysia di bawah sistem satu parti atau satu rejim di bawah UMNO. Ramai yang merasakan bahawa ini adalah hakikat hidup yang perlu diterima sepanjang hayat. Parti pembangkang sebelum ini merasakan mereka hanya boleh menjadi pembangkang yang kuat untuk "check and balance" dan tidak termimpi untuk memerintah.
Mac 8 mengubah ini semua dan buat kali pertama dalam sejarah, ia memberi harapan untuk gabungan Pakatan Rakyat (PR) memerintah di peringkat Persekutuan. Ini ditambah pula dengan setiap pilihanraya kecil kecuali di Bagan Pinang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.
Rakyat Malaysia begitu ghairah dengan perkembangan Politik ini. BN pula begitu gerun dengan prospek ini dan membuat segala-galanya untuk kekal memerintah. Najib sanggup memberi kewarganegaraan, meliberalisasi ekonomi dengan mengugurkan 30% ekuiti bumiputera dan lain-lain hanya sekadar untuk menang dalam pilihanraya depan. Kekalahan parti LDP di Jepun dan berakhirnya metos "RAHMAN" mungkin membawa alamat berakhirnya pemerintahan BN.
Dalam suasana ini, wujud satu persengketaan politik yang begitu sengkit antara BN dan PR. Ini adalah masa dan peluang yang paling cerah dan baik untuk mengakhiri hegemoni UMNO-BN dalam politik Malaysia. Walaupun ada perbezaan ketara antara parti-parti dikalangan PR, namun faktor yang mengekalkan perpaduan ini adalah untuk menumpaskan BN.
Dalam suasana ini, semasa rakyat Malaysia semua mahu melihat BN tumbang buat kali pertama, adakah wajar PSM membuka satu lembaran baru menuntut kuasa ketiga atau bekerjasama menumpaskan musuh yang dominan hari ini. Mungkin kawan-kawan saya di Asia Tenggara tersenyum sinis dengan kertas ini dan mungkin mereka telah melalui peringkat ini dalam perjuangan mereka.
Pada realitinya, adalah benar bahawa PSM tidak mempunyai pegangan yang sama dengan PR. Namun demikian, PSM merasakan PR boleh memajukan perjuangan ke tahap yang sedikit lebih tinggi dan justeru itu PSM membuat program minima dengan parti-parti PR. Selain dari perjuangan menentang ISA, terdapat banyak program PSM yang diterajui oleh PSM dan fronnya seperti Perjuangan menentang pengswastaan hospital, program menentang GST, menentang FTA, menuntut akta gaji minima di mana PSM bekerjasama dengan parti-parti PR.
Penglibatan dan input dan kempen berterusan ini juga sedikit sebanyak menyebabkan PR umpamanya di negeri Selangor membuat polisi mengenai Akta gaji minima RM 1,500 dan pelaksanaan cuti bersalin 90 hari. Tindakan ini semestinya memberi kesan positive kepada perjuangan kelas pekerja di tempat lain. Kemenangan ini walaupun kemenangan ekonomi tetapi ia adalah baik kerana ia bercanggah dengan polisi neo-liberal.
Walaupun Kongres PSM ke-10 telah mengambil keputusan untuk berjuang bersama PR untuk menumpaskan BN tetapi tidak sekali, Kongres itu meminta PSM berkompromi dengan mana-mana pihak apabila hak dan kepentingan kaum pekerja tercabar. Selain daripada itu, adalah tanggungjawab dan misi PSM untuk terus membentuk ke arah membina jaringan-jaringan berlandaskan kelas untuk menumpaskan musuh-musuh kelas pekerja dan rakyat marhaen.
Kuasa ketiga pada hakikat hari ini memang tidak ada malah Kuasa kedua pun semakin tercabar hari ini sehingga Lim Kit Siang (gambar kanan) sendiri berkata ini mungkin kemenangan "one off" bagi PR jika gabungan ini gagal menangani masalah dalaman. Parti baru Uthayakumar berkata mengenai kuasa ketiga. Walaupun bagi kita, kita berpendapat kuasa ketiga harus berlandaskan persamaan idelogi dan penyatuan kelas untuk membawa perubahan sistem bukan sekadar mengubah parti.
Masalah yang kita hadapi adalah kuasa kedua itu sendiri masih dalam proses pembentukan. Oleh yang demikian mungkin adalah tidak masuk akal untuk PSM dalam konteks politik hari ini untuk menuntut kuasa ketiga kerana keadaan objektif belum matang. Jika PSM berbuat pendirian yang janggal dari pandangan umum, maka pendirian mungkin "isolated" dan terasing dari politik massa.
Namun cabaran adalah adakah PSM mahu memberi ilusi kepada rakyat tentang sistem dua parti dan jika PSM bekerjasama dengan PR, maka ia dituduh sebagai politikopportunist (ambil kesempatan) dan jika ia tidak bekerjasama dengan PR, ia dituduh sebagai pendirian yang utopian. Maka apakah pertimbangan yang ada pada kita. Bagaimana kita hendak mengimbangi keadaan yang cukup mencabar ini.
Pendirian PSM pada hari ini adalah berkerjasama dengan PR tetapi mengkritik dengan bertanggungjawab apabila polisi PR membawa padah kepada rakyat. Pada masa yang sama, PSM harus membuat kerja-kerja akar umbi dengan kuat dan tekun dan membina satu gerakan rakyat yang kuat. Kita tidak boleh sekadar menumpang dan "infiltrate" kerja parti lain seperti yang biasa dilakukan oleh banyak parti di Eropah. Kita harus membuat kerja di kalangan kaum pekerja dan marhaen untuk membina kuasa ketiga pada masa depan.
Pendirian ini adalah kritikal memandangkan hampir semua parti politik di Asia tenggara telah berpecah kerana perbezaan ini dan tidak dapat menangani persoalan ini, iaitu persoalan politik koalisi, kerjasama pilihanraya dan lain-lain yang ada kaitannya. Terbukti parti kiri di Filipina berpecah lebih teruk setelah Marcos digulingkan dan begitu juga parti kiri di Indonesia berpecah melipat kali ganda setelah Suharto ditumpaskan.
Maka adakah PSM akan menerima nasib yang sama. Buat masa ini, pendirian "Demokratik Centralism" yang dipegang oleh parti berjaya memajukan perjuangan kita langkah demi langkah.
Namun demikian, pengalaman di Philippines dan Indonesia memberi kita pespektif bahawa teori "stages" berperingkat tidak berjaya kerana rejim baru menjadi lebih ganas mengikut masa dan perjuangan kiri menentang rejim baru menjadi lebih lesu dan berpecah kerana persoalan antara ilusi dan realiti. Persoalan antara bilakah masa yang baik untuk bertindak dan sebagainya.
Isu ini di Malaysia adalah sedikit lebih rumit kerana komposisi perkauman ini yang menjadi darah daging politik Malaysia dan keadaan menjadi lebih teruk setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk. Politik parti selepas 1970-an pula lebih menumpu kepada isu agama dan perkauman daripada isu kelas. Ini juga adalah zaman selepas crackdown terhadap Fron Sosialis. Cabaran PSM untuk sekian lama adalah untuk membentuk satu kumpulan kuat berlandaskan kelas. Matlamat ini bercanggah dengan pendirian banyak parti politik lain yang menggunakan isu kaum dan agama untuk mendapat undi popular.
James Puthuchery pernah berkata bahawa pengalaman sosialis di Malaysia berbeza dengan negara lain. Beliau berpendapat kaum sosialis perlu menangani persoalan Nasional dahulu sebelum menangani persoalan kelas. Tanpa menangani persoalan nasional maka tidak boleh maju perjuangan kelas ke depan.
Untuk memperdalamkan isu ini, saya ingin membuat perbandingan PSM dengan negara lain di Asia Tenggara. Di Filipina, 80% populasi adalah Roman katholik, 10 % kristian protestan manakala hanya 5% adalah Islam.
Di Indonesia, perangkaan 2000 adalah 86.1% adalah beragama Islam manakala 8.7% adalah kritian, 3% Hindu dan 1.8% Buddhist. Di Thailand, 94.7% populasi adalah Buddhist manakala 4.6% adalah Islam.
Sekarang keadaan di Malaysia pula adalah, 60 % beragama Islam, 19% Buddhist, 9% kristian dan 6% Hindu. Ratio golongan Majoriti dengan lain hanyalah 1.5:1 dan ini berbeza dengan negara lain di Asia Tenggara. Insecurity kebimbangan ini terus dimanupulasi untuk memastikan rakyat tidak bersatu mengikut kelas. Maka cabaran di Malaysia pada pandangan saya adalah jauh lebih rumit dari negara lain di Asia Tenggara kerana pertama kita kena menyatukan rakyat yang berpecah kerana kaum dan agama yang begitu dalam.
Oleh yang demikian pandangan Anwar Ibrahim untuk menukar polisi perkauman dalam DEB kepada satu polisi memberi keutamaan berdasarkan keperluan dan bukan perkauman dan slogan Najib 1Malaysia membawa kita ke satu babak baru politik Malaysia. Ramai yang berpendapat tindakan-tindakan Najib meniru agenda dan politik PR. Ini bermakna sistem dua parti yang kita lihat hari ini semakin hari membawa agenda yang hampir serupa. Ini juga bermakna, perjuangan menentang polisi Neo-liberal dan kapitalisma harus didokong oleh PSM dan parti-parti lain yang bersehaluan.
Rumusan
PSM tidak mempunyai ilusi mengenai sistem dua parti. PSM harus memantapkan kerjanya untuk membina kuasa pekerja. Namun keadaan objektif masih belum matang dan kuasa kedua masih dalam pembentukan dan belum lagi menjadi realiti.
Keadaan yang cukup dinamik dalam politik Malaysia tidak harus digunakan untuk memberi "hand-out" kepada rakyat kerana ini adalah yang cuba dilakukan oleh kedua-dua belah pihak. Masa ini harus digunakan untuk meradikilasi rakyat dan memantapkan barisan parti dan fron-fron parti. Hegemoni UMNO-BN tidak boleh diperang dengan wang. Ia hanya boleh diperang dengan idelogi dan gerakan massa dari bawah.
*Kertas yang dibentangkan S.Arutchelvan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia dalam forum "Sistem Dua Parti di Malaysia: Suatu Analisa Kritikal
MALAYSIA AKAN HURU-HARA SEBAGAIMANA DI MESIR
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan