THE INTERNATIONALE

free counters
COUNTER THE INTERNATIONALE INI MULA BEROPERASI PADA 17 DECEMBER 2009

AHLI KELAB SOSIALIS HIJAU

JIKA PAS JOIN UMNO ADAKAH ANDA AKAN

PANAS !! Nantikan siri-siri Pendedahan Jahat Mereka

Rabu, 4 November 2009

RAKYAT PEMBUAT SEJARAH - HISHAM RAIS





LAPAN TIGA DUA KOSONG KOSONG LAPAN

Terlalu ramai antara kita yang tidak memahami dengan jelas perjalanan sejarah. Ramai aktivis politik, pemerhati politik dan juga mereka yang mencampuri parti politik tidak memahami bagaimana sejarah bergerak.

Kesilapan wujud kerana penekanan pembelajaran sejarah amat dikait dan disangkutkan dengan beberapa susuk dan individu. Ketika kita belajar sejarah atau tawarikh – anak anak sekolah selalu di paksa untuk mengenal nama, apa yang berlaku dan tahun berapa ianya berlaku.

Pembelajaran dan pemahaman sejarah cara ini tidak penuh. Sejarah menobatkan si anu dan si anu sebagai manifestasi dalam babak babak sejarah agar ianya dapat difahami. Hakikatnya - perjalanan sejarah tamadun manusia lebih luas dari hanya mengenali nama-nama orang , nama tempat dan tarikh berlaku.

Pendekatan sejarah jenis ini dilakukan untuk permulaan pengenalan kita dengan babak sejarah. Contohnya - memang lebih senang untuk kita memahami Revolusi Bolshevik 1917 atau Revolusi Tiongkok 1949 dengan melihat peranan yang dimiankan oleh Marx, Lenin, Trotsky, Mao, Chao En Lai atau Sun Yat Sen.

Tetapi harus di sedari bahawa susuk-susuk ini sebenarnya hanyalah manifesti dari babak sejarah itu. Melalui susuk-susuk ini kita akan dapat memahami perjalanan babak sejarah tersebut. Kita memahami sejarah melalui peranan yang dimainkan oleh susuk ini. Tetapi sejarah perjalanan tamadun manusia lebih luas dari peranan sejarah susuk-susuk ini.

Individu memang diakui memainkan peranan dalam sejarah – tetapi ianya hanya sebahagian dari lakaran sejarah pergerakan tamadun manusia.

Sejarah perubahan sosial manusia bukan dibuat oleh individu tetapi oleh orang ramai. Orang ramai - rakyat jelatalah - yang sebenarnya mengubah perjalanan sejarah. Kemerdekaan Republik Indonesia tidak akan wujud jika orang Indonesia tidak menyahut panggilan Bung Karno. Tiongkok akan terus di jajah jika suara Mao tidak dipedulikan oleh berjuta juta orang China.

Di Malaysia ini - terlalu ramai politikus yang menyangka bahawa susuk mereka cukup penting untuk membawa perubahan sosial. Ini anggapan yang amat salah. Susuk memang penting tapi jika rakyat tidak mengambil pot – susuk ini akan terpeleok.

Cuba perhatian bagaimana Mat Ezam dilihat bagitu gedebe ketika zaman Reformasi. Beribu-ribu orang datang mendengar ucapan Mat Ezam. Mat Ezam dilihat gah hingga kan dia merasa bahawa tanpa dirinya maka reformasi yang kecut dan kempis. Ini congak yang salah.

Mat Ezam hanya menyuarakan pandangan dan keinganan orang ramai yang ingin berubah dan melakuan rombakan sosial. Mat Ezam hanyalah manifestasi dari harapan ini.

Buktinya: sebaik sahaja Mat Ezam meninggalkan PKR - Mat Ezam sendiri menjadi kempis dan kecut. Kalau dulu berduyun-duyun rakyat datang berkumpul mendengar Mat Ezam. Sekarang mereka berduyun-duyun meninggaklkan Mat Ezam. Kesian - apabila dilaporkan bahawa ada kalanya ceramah Mat Ezam tidak cukup jemaah kalau hendak bersembahyang Jumaat. Kalau dahulu sepuluh masjid pun tidak mencukupi. Ini adalah hakikat sejarah - kerana sejarah dibuat oleh orang ramai bukan oleh individu.

Lapan tiga dua kosong kosong lapan adalah contoh dimana rakyat di negara kita ini bertindak untuk membuat perubahan. Mereka berhasrat untuk menghumbankan gerombolan United Malays National Organisation yang semakin haprak. Rakyat merasakan masanya telah tiba untuk mereka melakukan perubahan.

Jika ada politikus atau YB atau pemimpin dalam Pakatan Rakyat yang menganggap bahawa susuk merekalah yang membawa satu anjakan politik ini - maka mereka samalah seperti Mat Ezam. Mereka tersalah baca dan tersalah congak. Mereka juga akan dibungkus dalam kotak-kotaknya.

Jika Zulkifli Nordin atau Hassan Ali menganggap tanpa diri mereka maka Pakatan Rakyat tidak boleh berjaya maka mereka juga akan dihanyutkan oleh rakyat. Jika Badrul Hisham menganggap susuk dirinya bagitu penting maka dia juga tersalah baca. Dalam gerakan sosial tidak ada satu susuk yang penting.

Ombak rakyat yang mahukan perubahan tidak akan mengambil kira berapa tebal lilitan serban sang politikus. Tidak kira berapa banyak ijazah yang telah di beli. Tidak kira berapa ramai raja yang telah memberi gelaran Tun Tan Tin. Jika ombak rakyat sampai – semua akan lingkup.

Dalam arus perubahan yang kita lihat pada lapan tiga dua kosong kosong lapan dahulu adalah contoh dimana orang ramai telah membuktikan bahawa mereka ingin berubah. Apabila rakyat ingin melakukan perubahan tidak ada satu pun kuasa dalam dunia ini dapat menahan ombak itu.

Betul – rakyat boleh didodoi-dodoikan. Betul – rakyat boleh di tipu dengan pelbagai helah. Betul – rakyat boleh diberi gula-gula dan nasi bungkus. Tetapi akan sampai ke satu tahap dimana semua pembohongan ini akan terbuka. Semua lebong akan dilihat sebagai lebong.

Dalam perjalanan tamadun manusia tidak ada yang lebih jitu dari kebenaran. Tidak ada yang lebih kompak dari yang hak. Kebenaran dan hak ini mungkin untuk sementara waktu boleh dikaburkan – boleh dipesong alih – tetapi akhirnya kebenaran pasti akan muncul.

Sejarah tamadun manusia adalah sejarah perjuangan. Ini wajib diingati untuk dijadikan pedoman dan garis jika ingin bersama dalam arus perubahan sosial. Sesiapa yang memekikan laongan – lawan dan berjuang – maka di situlah rakyat akan berkumpul dan berpayung.


Perhatikan dan ingatkan kembali bagaimana pada di minggu pertama dan minggu ke dua ketika Anwar Ibrahim dibuang dahulu. Anwar masih membodek Mahathir dengan kata-kata seperti ‘ dia mentor saya ’ - ‘ saya anggap Mahathir sebagai ayah…’ dan dan dan. Ucapan-ucapan bodek ini tidak menjemput sesiapa pun untuk turun menyokong.

Ketika itu Anwar Ibrahim tidak memekikkan perlawanan maka tidak ada sesiapa pun yang akan ambil pot atau bersimpati terhadap apa yang dilakukan oleh Mahathir.

Tetapi apabila slogan – lawan tetap lawan – muncul makan beratus ribu anak muda mula turun ke jalan raya. Pekikan bangun melawan adalah hukum sejarah tamadun manusia. Perlawaan adalah hukum dialetika yang saintifik – hukum yang menjadi asas penggerak perubahan apa sahaja dalam dunia ini.

Melaongan perlawanan terbukti lagi dalam sejarah kes Musa Hitam. Ketika Musa Hitam dibuang dia menikus – tidak melawan. Maka hingga ke hari ini Musa Hitam akan terus menjadi tun tikus. Bagitu juga pada Anwar - jika ketika di buang dahulu dia tidak melaongan perlawanan – dia juga akan menjadi dato seri tikus tikus.

Tetapi waspada – jika Musa dan Anwar menikus - ini tidak bererti rakyat tidak memiliki niat untuk bangun melawan. Melawan adalah fitrah semua umat manusia. Jika ada si Polan menjadi tun tikus maka akan muncul susuk baru mengacung tangan membawa gelombang perlawanan.

Individu dan susuk-susuk ini hanya berperanan untuk mengolah fitrah hakiki keinginan rakyat untuk bangun melawan. Tidak lebih dari itu. Susuk yang nama mereka disabitkan dengan sejarah revolusi sosial adalah pengolah yang cekap dan pembawa garis politik yang tepat. Susuk ini dapat membetongkan keinginan rakyat yang ingin berjuang untuk mendobrak kezaliman yang sedia wujud.

Sejarah perlawanan akan berterusan tidak putus putus. Jalan yang diteroka bukan siratul mustakim tetapi bengkang bengok dengan ranjau di sepanjang jalan. Kita akan bertemu dengan banyak lagi watak Mat Kotak, Mat Ezam, Mat Badrul Hisham, Mat Zul Nordin, Mat Hasan Ali dan pelbagai jenis Mat Malaon yang akan cuba memberatkan tangan kita ketika rakyat ingin menampar United Malays National Organisation hingga ke liang lahad.

Tetapi yakinlah tidak ada satu pun kuasa yang akan dapat menundukkan ombak rakyat. Hanya rakyat yang melakar sejarah.(TT)

Tiada ulasan: