HARI PAHLAWAN REVOLUSIONER 1 SEPTEMBER
Di saat-saat Perang Anti-Jepun berkembang menggelora, ejen dalam selimut Lai Te yang telah bersalin bulu dari sepai British menjadi sepai Jepun cuba mematahkan perjuangan dengan taktik jahat. Dia di satu segi merangka suatu Persidangan Yang Diperluas Jawatankuasa Pusat di Batu Caves, Kuala Lumpur dan di segi lain pula bersubahat dengan fasis Jepun mengatur 5 lapis kepungan ke atas tempat persidangan. Pimpinan penting parti dan tentera telah awal-awal lagi tiba di tempat persidangan. Raifel dan Chang Lang Ping menghadiri persidangan itu sebagai wakil dari Rejimen Ke-5. Sedangkan Lai Te sendiri tidak menunjukkan dirinya.
Tanpa menyedari bahaya akan menimpa, kawan-kawan yang berkumpul di tempat persidangan itu sangat gembira kerana dapat bertemu rakan seperjuangan yang telah lama berpisah menjalankan tugas di merata penjuru tanah air. Waktu subuh, askar fasis Jepun mulai menyerang tempat persidangan. Kawan-kawan melakukan pertempuran dengan gagah berani melawan askar fasis Jepun. Lai Raifel telah bertempur sehingga pistolnya kehabisan peluru. Beliau bersama kawan-kawan pimpinan dan kawan-kawan lain menerobosi selapis demi selapis kepungan musuh.
Tugu Kesatria - untuk memperingati para pejuang
kemerdekaan tanah air dari berbagai zaman
yang didirikan pada tahun 1998, terletak
di sebuah bekas perkhemahan lama
Rejimen Ke-10, kira-kira 1 kilometer
dari Kampung Perdamaian Sukhirin.
kemerdekaan tanah air dari berbagai zaman
yang didirikan pada tahun 1998, terletak
di sebuah bekas perkhemahan lama
Rejimen Ke-10, kira-kira 1 kilometer
dari Kampung Perdamaian Sukhirin.
Pada tahun 1980, ketika saya dijemput ke Organ Jawatankuasa Pusat, Chang Ling Yun, seorang anggota Politbiro Jawatankuasa Pusat PKM yang hadir dalam persidangan 1 September itu berkata kepada saya bahawa “Lai Raifel adalah seorang kader parti yang berteladan dan mempunyai semangat setia kawan yang tinggi”. Chang Ling Yun menceritakan bahawa beliau yang mewakili Rejimen Ke-6 menghadiri persidangan itu telah tercedera di bahagian betis dalam pertempuran menerobos kepungan. Apabila sampai di Sungai Tua, Raifel nampak beliau telah luka lalu mengeluarkan sapu tangannya membalut luka dan memberikan rawatan cemas kepadanya. "Jika Raifel ingin melepaskan dirinya dia boleh tidak menghiraukan saya". Dalam masa itu juga mereka berhadapan dengan kepungan lapisan terakhir fasis Jepun. "Dalam saat kemelut itu, Raifel melihat seorang kawan masih mempunyai sebutir bom tangan lalu memintanya. Dengan secepat kilat Raifel melemparkan bom tangan itu ke atas musuh dan memerintahkan kami menyerbu keluar dalam kepulan asap ledakan yang dahsyat itu. Demikianlah kami terselamat dari bahaya fasis Jepun."
Serentak dengan serangan ke atas tempat persidangan, Kompeni Teladan Rejimen Ke-1 yang ditugaskan menjaga keselamatan persidangan juga diserang oleh tentera fasis Jepun. Kerana itu kompeni tersebut tidak dapat memberikan bantuan kepada kawan-kawan di tempat persidangan.
Setelah bertemu semula, Raifel menceritakan seluruh proses peristiwa tersebut kepada saya. Kami sangat berduka cita kerana 18 orang kawan pimpinan dan kawan pengawal telah gugur dalam peristiwa tersebut. Semangat tempur yang gagah berani yang ditunjukkan oleh seluruh kawan pimpinan dan kawan-kawan dalam peristiwa itu sangat mengkagumkan kami.
Peristiwa 1 September telah menimbulkan kerugian besar ke atas PKM dan kekuatan anti-Jepun. Namun, peristiwa ini sedikit pun tidak mematahkan semangat perjuangannya, malah perjuangan bersenjata anti-Jepun lebih marak berkobar-kobar lagi. Jawatankuasa Pusat PKM mengambil sempena 1 September sebagai hari memperingati Para Pahlawan dan Kesateria Revolusioner baik dalam masa Perang Anti-Jepun mahupun dalam masa Perang Pembebasan Nasional Anti-British.
---
dipetik dari Memoir Suriani Abdullah: Setengah Abad Dalam Perjuangan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan