Tuan Yang Terutama Tan Sri Jeneral Chaovalit Yongchaiyuth,
Yang Berhormat Datuk Wan Sidik bin Wan Abdul Rahman,
Yang Berhormat - Yang Berhormat Anggota Perwakilan Kerajaan Diraja Thailand,
Yang Berhormat – Yang Berhormat Anggota Perwakilan Kerajaan Malaysia,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati!
Perwakilan-perwakilan KERAJAAN DIRAJA THAILAND, KERAJAAN MALAYSIA dan PARTI KOMUNIS MALAYA telah mengadakan satu siri perundingan damai dan mencapai satu keputusan yang berjaya seperti terbukti dengan ditandatanganinya dua buah persetujuan damai tadi. Kami berasa sukacita atas hasil-hasil perundingan ini.
Persetujuan-persetujuan yang baru saja ditandatangani ini adalah selaras dengan dasar parti kami untuk mewujudkan perdamaian. Di samping itu ia juga selaras dengan arus sejarah dewasa ini di mana rakyat seluruh dunia memperjuangkan perdamaian dan demokrasi serta selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara kita -- Malaysia dan Thailand.
Kami menganggap kedua-dua persetujuan untuk menamatkan aktiviti-aktiviti bersenjata yang telah berlarutan selama 41 tahun melalui perundingan damai ini sebagai satu penyelesaian secara terhormat. Tidak syak lagi penyelesaian yang adil dan menasabah bagi semua pihak yang berkenaan ini telah dicapai dengan semangat saling memahami dan saling bertolak ansur.
Kami yakin bahawa penandatanganan persetujuan-persetujuan ini akan mencatat satu lembaran baru dalam sejarah tanah air kami dan akan memberikan sumbangan penting ke arah mewujudkan kemakmuran dan kestabilan di Malaysia serta di kawasan sempadan Thai – Malaysia.
Sebagai warganegara Malaysia, kami berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan tanah air.
Sebagai salah satu pihak penandatanganan, kami berjanji akan melaksanakan persetujuan-persetujuan ini dengan sebaik-baiknya. Kami akan membubarkan pasukan-pasukan bersenjata serta memusnahkan senjata-senjata kami sebagai menyatakan keikhlasan kami menamatkan perjuangan bersenjata.
Akhir sekali, izinkanlah saya, bagi pihak perwakilan PARTI KOMUNIS MALAYA merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada KERAJAAN DIRAJA THAILAND kerana menyediakan bantuan yang bernilai bagi perundingan damai tiga pihak ini di samping menjadi saksi kepada persetujuan damai di antara KERAJAAN MALAYSIA dan PARTI KOMUNIS MALAYA serta menjadi tuan rumah bagi upacara penandatanganan yang bersejarah ini. Saya juga ingin menyampaikan penghargaan yang istimewa kepada Tan Sri General Chaovalit Yongchaiyuth atas pandangan jauh beliau serta kepada Mejar Jeneral Kitti Rattanachaya atas usaha-usaha beliau dalam menjayakan perundingan damai ini.
Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan