"Bila sampai saja ke arah tangga yang terakhir, seorang musuh yang menghendap di tepi tangga itu menerkam dan memeluk tubuh saya. Pergelutan untuk melepaskan pelukan musuh itu sangat hebat juga hingga sampai ke halaman tangga. Di sini sekonyong-konyong datang dua tiga orang musuh untuk membantu, seorang daripadanya menghentakkan bud rifle ke arah pinggang saya." -- Abu Samah Mohd. Kassim
Pada 15 Oktober 1951, ialah peristiwa bersejarah kali kedua yang menentukan hidup matinya bagi saya di mana satu pergelutan hebat dengan 120 orang askar Melayu yang mengepung saya di rumah sendiri di Kampung Lanar, Mempatih. Tembakan hebat ke sasaran rumah mulai dicurahkan jam pukul 7.45 malam. Kejadian ini tersebar luas dan memberikan kesan-kesan yang mendalam kepada orang ramai. Selang beberapa tahun kemudian banyaklah orang-orang datang berkunjung ke rumah tersebut termasuk wartawan-wartawan untuk melihat kesan-kesan bersejarah yang dianggapnya sebagai suatu misteri itu. Untuk mengetahui lebih jelas peristiwa itu, di sini saya ingin coretkan secara ringkas peristiwa pertempuran dan pergelutan itu.
Pada 14 Oktober 1951, saya, Mat Teluk, Idris [gambar kanan] bersama 5 orang kawan lagi sampai ke Kampung Lanar, Mempatih. Di sana kami menemui sejumlah orang termasuk Mohiddin (asalnya orang Karak, berkahwin dengan saudara sepupu saya selama lima enam tahun, tapi isterinya sudah setahun meninggal dunia). Mohiddin beritahu saya, esok, hari pekan sari Lanchang. Dia akan pergi menemui emak saya untuk menyampaikan berita tentang ketibaan saya.
“Awak ada apa nak pesan bolehlah saya sampaikan,” katanya.
Saya menyatakan setuju dan berjanji petang esok akan datang ke rumah Mohiddin untuk mendengar berita dan pesanan emak.
Esoknya di pekan Mempatih mulai pukul 10 pagi lagi Mohiddin duduk seorang diri di atas sebuah bangku di kaki lima. Tuan punya kedai dan pengunjung-pengunjung amat hairan melihat keadaannya. Sampai jam hampir pukul 12, Mohiddin bangun sambil menepuk punggung lalu berkata: “Ah, nak pergi mereport!”
Ini lebih menghairankan lagi orang ramai. Lantas kemudian Mohiddin betul-betul pergi ke pos askar di Sekolah Lubuk Terua, sebelah hilir pekan itu.
Setelah pegawai askar menerima laporan Mohiddin yang saya akan datang ke rumahnya petang ini, pihak askar sangatlah sibuk membuat persiapan penyerangan dan menambah bala bantuannya lagi dari Kem Batu 5 Mentakab. Pukul 4 petang, seramai 120 orang askar Melayu mulai bergerak dan mengatur barisan pengepungan di sekeliling rumah saya yang terletak di atas sebuah bukit kecil. Sementara itu askar-askar yang tinggal di kemnya di Sekolah Lubuk Terua, Mempatih itu memanggil orang ramai di sekitarnya berkumpul, di sebelah malam diadakan jamuan teh dan membaca doa. (membaca doa yang dimaksudkan oleh askar itu ialah memohon agar berjaya Abu Samah dibasmi sama ada ditangkap hidup atau dibunuh mati). Dalam pada itu, pegawai askar juga memberitahu orang ramai, pada hari esok akan diadakan kenduri menyembelih kerbau.
Pada petang itu, kira-kira pukul 4.30, dua orang anak perempuan Tok Imam Dollah yang mencari kayu api berhampiran rumah saya itu nampak ramai askar di sekeliling rumah. Kedua-dua merekapun cepat-cepat balik memberitahu bapanya. Mendengar berita itu, Tok Imam segera menyuruh anak-anaknya itu ke perigi di tepi paya memerhatikan apakah benar saya akan keluar pergi ke rumah itu untuk disekat. Kedua-dua gadis itu tunggu sampai pukul 6.30, akhirnya mereka balik kerana sembahyang Maghrib sudah masuk waktunya.
Saya dengan Mat Teluk pukul 6.30 itu baru bertolak. Memikirkan kawasan perkampungan saya itu terdedah dengan bahaya kerana tak jauh dari kem musuh, tambahan pula askar musuh sentiasa datang meronda. Jika tak tahu selok belok kampung amatlah sukar. Maka saya tinggalkan Idris bersama 4 kawan lagi di rumah Haji Yaakob di seberang paya yang dilindungi bukit kecil, sedangkan saya dengan Mat tak menjadi masalah kerana kampung sendiri.
Kami berjalan melalui belakang rumah Tok Imam, kebetulan Tok Imam sedang qamat untuk sembahyang Maghrib. Kami terus ke rumah Mohiddin yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari rumah Tok Imam. Di sini Mohiddin sedang menunggu, nampak kelahirannya gelisah. Bila sampai saja dia minta saya segera pergi ambil barang-barang yang dikirim oleh emak saya diletakkannya di rumah saya sendiri anggaran 600 meter jaraknya dari rumah Mohiddin. Mohiddin berkata lagi, kerana banyak benda-benda berharga, dia letakkan di sebalik pintu, tak berani bawa ke rumah ini kerana hari ini sudah 3 kali askar meronda. Lantas Mohiddin menunjukkan jalan yang boleh diikut.
Walaupun saya mempunyai rasa syak wasangka serta perasaan berat melihatkan tingkah laku dan gerak geri Mohiddin ini tetapi terpaksa pergi juga dengan mengikut denai kecil menuju arah belakang dapur rumah saya. Bila kami meninggalkan Mohiddin dalam 20 – 30 langkah, maka Mohiddin pun bertempik dan bernyanyi dengan suara yang lantang. Hati saya lebih mengesyaki yang ini merupakan satu isyarat. Mana pernah waktu sembahyang orang bertempik, menyanyi sedangkan rumah yang dekat tu Tok Imam sedang bersembahyang. Dari itu, saya beritahu Mat, kita harus lebih berwaspada lagi.
Kami terus berjalan anggaran 20 meter saja hendak sampai ke kawasan belakang dapur, ribut kencang dan kilat petir pun bergemuruh, keadaan segera gelap gelita. Kami terus berjalan di sebalik rusuk rumah anggaran 15 meter menuju tangga bahagian depan. Sampai di depan tangga, saya minta Mat berkawal perhatikan jalan besar di hadapan itu manakala saya naik ke atas rumah.
Sebanarnya, waktu kami memasuki penjuru dapur dan mengelilingi kawasan hadapan rumah entah berapa banyak tubuh dan kepala askar-askar musuh itu yang hampir kami pijak atau langgar bahkan di tepi tangga tempat Mat berkawal itupun terdapat beberapa orang askar yang duduk di pangkal tiang. Ini telah diceritakan sendiri setahun kemudian oleh seorang askar patriotik bernama Yahya, berasal dari Kampung Terung, Taiping Perak kepada saya ketika saya bekerja menghubunginya di Temerloh. Dia sendiri ikut serta dalam serangan itu.
Yahya memberitahu: “Ketika ribut petir kuat itu, askar-askar meniarap di pangakal-pangkal pokok getah dengan menutup muka takut dihempap oleh ranting-ranting, dahan-dahan dan buah-buah getah yang berguguran dipukul rebut. Ketika itulah Abu Samah lalu” (yang sebenarnya Yahya tak kenal saya. Ketika itu saya memakai nama samara Mustafa), cuma dia bertanya saya: “Abu Samah di mana sekarang?”
Bila saya tanya kembali “kenapa, apakah kenal dengannya?” barulah dia bercerita yang dia ikut serta dalam serangan mengepung rumah itu pada tahun sudah.
Setelah selesai mangatur Mat berkawal, saya pun menaiki lima mata tangga dan menolak pintu spring di beranda depan, terus menuju ke pintu masuk yang kedua dan meraba-raba di sebalik pintu apa yang dikatakan oleh Mohiddin di sinilah diletakkan barang-barang berharga kiriman emak saya itu. Puas mencari dan meraba-raba di dalam gelap pekat itu tak berjumpa juga, lalu saya memetik pemetik api untuk menyuluh. Melihatkan cahaya dalam rumah yang agak terang itu, barulah askar-askar musuh yang disekeliling rumah itu sedar dan melepaskan tembakan yang sangat hebat.
Mat yang sedang berkawal di tepi tangga tadi nampak di depannya musuh mara merangkak-rangkak. Bila dia melepaskan sedas tembakan, musuh yang berada di pangkal tiang di sisinya itu menembaknya. Mat terkena tembakan di belakang tapak kaki dan terkena senapang raifelnya lalu tercampak. Mat bergolek-golek dalam hujanan peluru hingga dapat meluluskan diri dari kepungan musuh itu akhirnya. Pada malam itu Mat sampai ke tempat gerup Idris yang ditinggalkan di rumah Haji Yaacob tadi. Tetapi gerup Idris setelah mendengar tembakan hebat itu lalu berundur jauh meninggalkan tempat itu.
Saya di dalam rumah terus menerus dihujani dengan tembakan hebat. Bila musuh berhenti menembak, mereka menyeru “surrender”, bila tidak dijawab, musuh terus menghujankan tembakan. Begitulah hingga 6 – 7 kali seruan “surrender” yang kemudiannya diikuti dengan tembakan. Pada mulanya kerana tembakan arah beranda iatu sangat hebat, saya cuba hendak keluar menerusi pintu dapur. Beberapa pintu lain sebelum sampai ke dapur semuanya terbuka, tetapi apabila sampai ke pintu dapur yang terakhir, saya dapati ianya dikunci dari luar, hendak terjun melalui jendela semua jendela tertutup. Jadi saya terus berpatah balik ke beranda depan. Bila saja tembakan musuh ke arah beranda itu reda, saya pun keluar dengan tangan kanan memegang pistol dan tangan kiri mengenggam hand grenade (bom tangan), menolak pintu spring beranda. Bila sampai saja ke arah tangga yang terakhir, seorang musuh yang menghendap di tepi tangga itu menerkam dan memeluk tubuh saya. Pergelutan untuk melepaskan pelukan musuh itu sangat hebat juga hingga sampai ke halaman tangga. Di sini sekonyong-konyong datang dua tiga orang musuh untuk membantu, seorang daripadanya menghentakkan bud rifle ke arah pinggang saya. Kerana kuat hentakannya, maka tangan askar yang memeluk tubuh saya itu terlucut dan saya pun rebah tertiarap. Dalam keadaan yang amat genting inilah, saya berkesempatan mencabut pin dan melemparkan bom tangan ke arah tiga orang musuh yang berhampiran di mana seorang mati dan dua lagi luka-luka.
Bila mendengar bunyi bom tangan yang kuat itu, musuh di sekeliling rumah sekali lagi menghujankan tembakan hebat disertakan pancaran “sport light” yang menjadikan kawasan di sekitar rumah itu terang benderang. Dalam masa jerit pekik dan tembakan gencar musuh itulah, saya merangkak-rangkak meluluskan diri keluar dari garisan kepungan musuh menuju ke tanah perkuburan di Kampung Chempedak untuk berehat pada malam itu.
Sungguh belas kasihan kepada 120 orang askar musuh yang sejak pukul 4.00 petang mengepung rumah, pukul 7.20 mulai melepaskan hujanan peluru hingga pukul 7.45 saya keluar meluluskan diri dari kepungan, sampai dekat pukul 9.00 malam barulah tembakan berhenti, lepas itu pergi merayau-rayau ke segenap pelusuk pula untuk mencari saya kalau-kalau terjumpa.
Sedangkan bahagian askar yang berkem di Sekolah Lubuk Terua, Mempatih yang mengumpulkan orang ramai untuk dijamu teh dan membaca doa itu juga tidak dimakbulkan Allah S.W.T. kerana menyokong serta mempertahankan imperialism Inggeris yang kejam dan zalim selama ratusan tahun menjajah bumi tanah air yang tercinta. Rancangan jamuan besar-besaran menyembelih kerbau pada hari esoknya kononnya gembira kerana tertangkap atau terbunuhnya Abu Samah yang gagal itu juga dibatalkan.
Esoknya, pagi gelap-gelap lagi saya meninggalkan tanah perkuburan Kampung Chempedak menuju ke kampung Sungai Nangka, Bolok Hilir ke rumah Tok Haji Mat Taib. Tak lama Mat yang luka di belakang tapak kaki pada malam itu juga sampai. Sedang lima orang yang dipandu Idris itu tetaplah sudah pergi jauh, dua tiga hari kemudian baru mereka sampai ke Kerdau. Dalam anggapan Idris, setelah hampir setengah jam tembak menembak, kemudian kedengaran bunyi ledakan bom tangan itu tentulah kami terkepung, tak dapat meluluskan diri lalu meletupkan bom tangan untuk membasmi musuh dengan mengorbankan diri sendiri. Dari anggapan inilah bila saja mendengar bunyi ledakan bom tangan, mereka pun cepat-sepat berundur dari tempat perjanjian pada malam itu.
-----
Nota: catatan di atas adalah tulisan Abu Samah Mohammad Kassim yang dipetik dari buku beliau SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN, terbitan Nan Dao Publisher, Disember 1996
- Wawancara dengan Abu Samah Mohd. Kassim
- askar patriotik menyokong perjuangan kemerdekaan
- Sumbangan Askar Melayu Patriotik dalam Perjuangan ...
- Prisytiharan Darurat dan Perjuangan Bersenjata Mel...
- Tun Minah Pulang Ke Rumah
- Abu Samah Mohd. Kassim - Pejuang Kiri Kemerdekaan ...
- Sejarah Dan Perjuangan Kemerdekaan - A.Samah Mohd....
- Gambar-gambar Kepulangan Abu Samah Ke Rahmatullah
- Kenyataan Akhbar PSM ABU SAMAH 1926-2009
- Alfatihah Buat Pak Abu Samah Mohd. Kassim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan