Sekali sekala ingin juga aku mengetahui perkembangan tanah tumpah darahku yang kini bergelar Malaysia. Remote satellite TV C-Band ditekan, mangkuk satelit berputar ke arah Measat (satelit Malaysia). Terpancul TV 1 RTM. Kehangatanku untuk menonton hilang apabila melihat siaran “keganasan pengganas komunis” dalam dalam masa darurat dulu. Sekali lagi mangkuk satellite aku pusingkan ke arah Thaicom (Satelit Thai) atau Palapa (Satelit Indonesia).
Aku merenung jauh, mengenang kembali detik-detik sejarah merpati putih berterbabangan di angkasa Haadyai pada 2 Disember 1989. Ketiga-tiga pihak PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Diraja Thailand telah menandatangani suatu persetujuan untuk menamatkan persengketaan bersenjata di kawasan sempadan Thai Malaysia dan Malaysia.
Terpancul satu soalan dikepalaku. Mengapa Kerajaan Malaysia nampaknya belum menamatkan permusuhan walaupun sudah hampir 20 tahun perjanjian damai ditandatangani? Propaganda zaman darurat masih diulang tayang, bahkan dibuat lakonan baru pula. Untuk apa itu semua? Apa tujuannya luka lama diguris semula? Di manakah keikhlasan Kerajaan Malaysia yang menandatangani persetujuan damai Haadyai?
Yang lebih menghairankan aku ialah mengapakah menentang penjajah itu dikatakan ganas? Apakah ganas rakyat Palestin menentang penceroboh Israel? Apakah ganas rakyat Irak dan Afghanistan yang menentang penceroboh Amerika? Apakah ganas rakyat Vietnam menentang penceroboh Amerika? Apakah ganas rakyat Indonesia menentang penceroboh Belanda? Sebetulnya lojik apakah yang mereka pakai? Seorang algojo yang menjadi musuh bersama rakyat Malaya dan rakyat Palestin ialah Hunry Gurney. Tangan yang berlumuran darah rakyat Palestin itu juga yang membantai rakyat Malaya. Tetapi di Malaysia Hunry Gurney diberi pengiktirafan yang tinggi. Aku pernah terbaca ada “pejuang kemerdekaan” mahu mendirikan papan tanda bagi memperingati kematian Henry Gurney. Ini berlaku pada tahun 2009.
Aku menarik nafas panjang. Oh Malaysia!! Sehingga kini kau masih lagi menari ikut irama dendangan penjajah. Inilah hakikat tanah air ku.
Di sudut lain, aku nampak suatu hal yang berbeza. Kerajaan Diraja Thailand juga sebuah kerajaan anti-komunis. Tapi tidak pula aku mendengar propaganda lama diulang semula seperti mana RTM. Di sini berbagai peringkat pegawai kerajaan baik awam mahupun tentera datang melawat kampung-kampung perdamaian. General Kitti Rattanacahaya yang menjadi Panglima Ketumbukan Ke-4 ketika lawatannya di Kampung Perdamaian Sukhirin pernah menyebut “saya percaya kalian, kalian bukan orang jahat, kalian adalah orang yang berjuang”. Dua orang puteri Maharaja Thai iaitu Puteri Sirinthon dan Puteri Chulabhorn pernah meredah hutan melawat kampung kami.
Lt.Col. Romklao dari Tentera Thai ketika melawat
Abdullah C.D., Suriani dan Abu Samah.
Di bawah adalah catatannya yang ditinggalkan
untuk kenang-kenangan.
(2549 tahun Buddha sama dengan 2006 tahun Hjarah)
Allahyarham Rashid Maidin pernah mengadakan upacara perasmian tugu peringatan di Kampung Perdamaian Balok, Yala. Tugu peringatan itu didirikan untuk mengenang rakan seperjuangan Rejimen Ke-10 yang gugur dalam perjuangan. Yang menggunting riben tanda perasmian majlis itu ialah seorang Jeneral Tentera Thai. Manakala Gabenor Wilayah Yala juga ikut serta memberikan ucapan dalam majlis tersebut. Sedikitpun tiada caci maki atau apa-apa tuduhan akibat persengketaan di masa lampau.
Jika dikaji dari fakta perang, pertempuran TPNM dengan tentera Thai lebih lama dari angkatan tentera Malaysia. Sepatutnya tentera Thai lebih banyak menyimpan dendam terhadap kami.
Setelah belasan tahun perdamaian Haadyai, Kerajaan Diraja Thailand pernah mengadakan suatu majlis khas yang dihadiri oleh wakil kerajaan Thai, Gen. Chaovalit, YB Mat Nor Mat Ta dan lain-lain, manakala wakil PKM pula Chen Ping, Allahyarham Rashid Maidin, Abdullah C.D., Suriani Abdullah, Allahyarham Abu Samah, Ah Chen dan lain-lain. Mereka membincangkan masalah perlaksanaan persetujuan yang telah ditandatangani. Semua perkara berkaitan dibentangkan di situ, mana yang tak beres telah dibereskan dengan sempurna.
Kembali teringat aku soal RTM. Aku masih ingat suatu peristiwa, tapi lupa pula tanggalnya. Yang pasti menjelang sambutan hari kemerdekaan Malaysia, datanglah satu rombongan dari Majalah TV 3 ke kampung perdamaian Sukhirin. Tiba di sini, mereka menyebut:
“kalianlah pejuang kemerdekaan.”
“Kemerdekaan yang kami kecap hari ini hasil dari perjuangan kalian.”
“Kami akan perkenalkan pejuang kemerdekaan kita kepada dunia”.
Wah … betapa hebatnya kami disanjung. Boleh menyebabkan pengsan kepada sesiapa yang mengidap sakit jantung kerana terharu yang amat sangat.
Kamera pun dikeluarkan, ada yang video, ada yang gambar mati. Abdullah C.D., Rashid Maidin, Abu Samah, Suriani pun diminta berjalan untuk dirakam gambar. Wawancara pun dimulai.
Walau bagaimanapun ada kawanku yang menaruh curiga terhadap rombongan RTM itu. Dengan meninggikan suara agar didengar ramai, kawan itu menyebut dalam loghat tempatan;. “Demo ni, masuk molek, tubik hudoh”.
Sampai tarikh yang ditetapkan, kami pun menghadap kaca TV masing-masing. Tak sabar rasanya ingin melihat bagaimana RTM menyiarkan cerita “pejuang kemerdekaan”.
Tepat masa jadualnya, muncullah juru acara Majalah TV3 di kaca TV. Alamak, isinya lagi-lagi “keganasan komunis” dalam masa darurat. Hilang lenyap segala perasaan yang ingin tahu tadi.
Ini menjadikan kawan-kawanku di kampung itu sangat marah. Seorang kawan melontarkan soalan kepadaku: “Manusia jenis apa mereka itu boleh dengan tenang berdolak dalik sebegitu rupa. Hari ini kata putih, besok kata hitam.”
Inilah sebuah hakikat yang aku saksikan dengan mata kepala sendiri.
7 Keistimewaan Hari Arafah
5 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan