Parti Sosialis Malaysia menyokong tuntutan gaji minima RM800 untuk pembantu rumah yang dituntut oleh Indonesia. Kami seterusnya juga menuntut supaya kerajaan mengambil langkah-langkah segera untuk menggubal Akta Gaji Minima bagi semua sektor pekerja di Malaysia dengan menetapkan kuantum gaji minima pada RM1, 200 seperti disyorkan oleh MTUC.
PSM berpendapat bahawa tuntutan RM800 adalah munasabah dalam konteks peranan penting yang dimainkan oleh sektor pekerja ini. Pembantu rumah sudah menjadi ‘indispensable’ di Malaysia dalam konteks kemerosotan keluarga kembangan. Pada masa yang sama, pihak kerajaan dan kaum majikan sudah gagal untuk menyediakan kemudahan pusat jagaan yang mencukupi, mampu dibayar dan berkesan untuk kanak-kanak dan warga kurang upaya.
Kepentingan pembantu rumah diakui oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil tetapi beliau menentang cadangan RM800, atas sebab ianya akan membawa impak besar kepada ekonomi negara. Menurutnya ia akan mengakibatkan wanita Malaysia (hanya wanita bukan lelaki!) terpaksa berhenti kerja dan menjaga keluarga, dan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi kita.
PSM rasa kecewa dengan sikap Menteri serta Pertubuhan majikan yang dapat melihat betapa pentingnya peranan dan sumbangan sektor pekerja ini namun mereka tidak sedia membayar insentif yang selaras. Sikap yang samalah juga menghalang penggubalan akta gaji minima untuk pekerja negara kita walaupun dituntut untuk begitu lama.
Kita harus sedar bahawa selepas 52 tahun negara merdeka, masih tidak ada akta gaji minima untuk kaum pekerja di Malaysia. Semua sektor pekerja swasta - kilang, ladang, perkhidmatan, pembinaan – terpaksa menerima gaji yang ditetapkan sewenang-wenangnya oleh majikan masing-masing. Kuantum gaji yang dibayar itu amat menindas dan ada di antara RM300 – RM600.
Kerajaan hari dan ini kaum kapitalis sering bercakap mengenai kuasa pasaran bebas namun mereka menggunakan pelbagai taktik untuk memastikan gaji tetap rendah melalui sistem kontrak, pekerja in-formal dan menggalakkan kemasukan pekerja migran murah untuk menjamin situasi gaji tetap rendah dan murah.
PSM berpendirian bahawa sudah tiba masa untuk menghormati sumbangan pembantu rumah, dan membayar gaji yang munasabah selaras dengan kerja mereka. Kami juga rasa sudah tiba masa untuk menggubal akta gaji minima dengan segera. Slogan 1 Malaysia mesti diberi makna. Kaum pekerja harus dapat menikmati ‘gaji munasabah’ dan mempunyai hak berkongsi kekayaan negara. Visi PM untuk menjadikan Malaysia negara pendapatan tinggi boleh bermula dengan langkah pertama ini. Kami percaya pendapatan tinggi yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia adalah untuk semua golongan termasuk kaum pekerja.
Dikeluarkan
Rani Rasiah
Timbalan Setiausaha Agung (no tel – 019-5638464)