Ibu Zaleha Mat Roni adalah serikandi terpuji puteri Sungai Pahang yang rela bergalang tanah demi kemerdekaan tanah air. Dengan mendapat pengaruh patriotisme dari datuknya yang menjadi angkatan perang Datok Bahaman, Ibu Zaleha membenci penjajah British sejak kecil lagi. Begitu gerakan kemerdekaan berkobar di Temerloh selepas kekalahan Jepun, beliau lantas menyertai AWAS (Angkatan Wanita Sedar) - pertubuhan wanita Melayu yang pertama memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Beliau telah diberi kepercayaan memimpin AWAS Cawangan Lubuk Kawah sehinggalah pertubuhan itu diharamkan pada tahun 1948. Berikut adalah profail ringkas Ibu Zaleha Mat Roni.
- Nama: Zaleha binti Mat Roni (1924 – 2004) atau nama samarannya Rosmah@ Wan, dilahirkan di Kampung Bangau Tanjung, Mukim Bangau, Daerah Temerloh, Negeri Pahang.
- Pendidikan: Lulus darjah 4 Sekolah Melayu Bangau. Belajar agama dengan guru agama kampung.
- Datuknya Mat Ali (sebelah ibu) pejuang angkatan perang Bahaman, selalu menceritakan kisah perang tersebut kepadanya. Semangat patriotisme dan bencikan penjajah mula berputik di benaknya sejak dari kecil.
- 1940, pindah ke Kampung Lubuk Kawah. Pengaruh patriotisme anti penjajah lebih diperdalam lagi dengan gerakan PKMM, PKM, API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain yang berkembang pesat di Temerloh.
- Tahun 1946 menjadi anggota AWAS, dipilih menjadi Ketua Cawangan Lubuk Kawah hingga AWAS diharamkan pada tahun 1948. Di sekolah API Lubuk Kawah ada kelas politik yang memperkenalkan imperializem, kapitalizem, sosializem, komunizem dan lain-lain. Guru yang mengajar ialah Kamarulzaman Teh dan Pak Da Hami
- AWAS Cawangan Lubuk Kawah:
Pembantu Ketua - Mak Ngah Minah (merangkap bahagian propaganda)
Setiausaha- Zaharah Bendahari Zawiah binti Hj Ibrahim
Ahli Jawatankuasa - Siti, Rahmah.
- Semasa AWAS didirikan anggotanya seramai 15 orang saja. Tapi menjelang darurat anggotanya bertambah sampai 100 orang.
- Oktober 1947, hadir kongres AWAS di Kajang, Selangor. Pahang menghantar 7 orang wakil.
- Jun 1948 darurat diisytiharkan, beliau ditugaskan menyusun massa dan membantu pasukan gerila di kampung. Walaupun AWAS sudah diharamkan, beliau masih meneruskan perjuangan AWAS dengan menubuhkan cawangan AWAS di kampung-kampung, menerangkan soal kemerdekaan dan membela nasib wanita.
- 1949 penjajah mahu menangkapnya, beliau menyertai Rejimen Ke-10 bertugas menyusun massa. Lebih 50 anggota AWAS Kampung Lubuk Kawah menyertai perjuangan bersenjata.
- Disember 1949, pertempuran di Jerangsang antara 300 orang Rejimen Ke-10 dan Kompeni Ke-26 Rejimen Ke-6 dengan 1 batalion askar Gurkha. Beliau ditugaskan mengundurkan barang-barang dengan selamat.
- 1951 ikut bersama rombongan Abdullah C.D. ke Bentong mesyuarat dengan Chen Ping dan bertemu Rashid Maidin yang baru lepas dari tahanan penjajah.
- 1953 menyertai pasukan Hang Jebat berpindah ke kawasan sempadan, ditugaskan sebagai Ketua Seksyen Wanita.
- Di sempadan ditugaskan menyusun massa. Massa sangat menghormati dan menggelarnya Mak Bidan kerana berjaya menyelamatkan ibu yang mendapat masalah ketika bersalin dan perkhidmatan perubatan lain kepada massa.
- 1960 mendirikan rumah tangga dengan Sukur Ismail.
- 1968 – 76 ikut serta dalam 3 kali pasukan penggempur Rejimen Ke-10 beroperasi di Ulu Kelantan, bertugas menyusun massa berbagai kaum termasuk massa Orang Asli. Beliau sentiasa memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada Orang Asli.
- 1977 - 89 – ikut serta memimpin Kompeni Ke-22 Rejimen Ke-10, dilantik sebagai Ketua Kompeni.
- 25 September 2004 meninggal dunia dalam usia 80 tahun kerana sakit tua. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan Kampung Perdamaian Sukhirin.