Eksklusif Saya Ong Jing Cheng (gambar kiri) dan seorang kawan saya Yap Heng Lung telah ditahan ketika kami dalam perjalanan ke Akademik Pengajian Islam (API), Univerisiti Malaya untuk berjumpa kawan yang belajar di UM pada jam 8 malam, 12 Julai 2009. Motorsikal kami rosak ketika menghampiri kolam renang pusat sukan, maka kami terus berjalan kaki ke destinasi. Kami dipanggil seorang yang nampak garang dan tidak beruniform, memperkenalkan dirinya sebagai pengawal keselamatan di depan surau API.
Pengawal bercakap dengan suara garang ketika meminta kad pengenalan saya. Saya agak takut dengan orang yang tidak saya kenali dan garang itu. Saya cuba meminta kad identiti dia, tetapi dia menunjuk kad identitinya dengan menutup nombor dengan tangan, namanya Izaham. Oleh kerana dia menutup nombor, saya rasa lagi takut dan mahu terus masuk API untuk berjumpa kawan, tetapi tidak dibenarkannya. Selepas itu, dua orang yang tidak beruniform turut sampai, menambah ketakutan kami.
Selepas itu, kawan kami Redzuan dan Aizat keluar jumpa kami, dan membuktikan bahawa kami memang ada temujanji, tetapi kami tidak tahu apa sebabnya mereka masih mendakwa kami sebagai penceroboh. Saya berasa takut dan meminta bantuan polis dari balai polis Lembah Pantai.
Tidak lama kemudian, polis beruniform datang dengan kereta polis, mereka meminta kad pengenalan kami, kami terus serahkan dan bekerjasama dengan polis, termasuk membuka beg untuk diperiksa polis.
Seterusnya kami dibawa ke tempat letak motosikal kami, saya ditanya polis tentang lakaran memorandum bertajuk “Jadikan Jalan Raya Kami Selamat” (Making Our Streets Safe) yang terdapat di bakul motosikal saya bawa, di mana memo ini ditulis kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara. Walaupun saya telah menjawab kepada polis, bahawa itu ialah kertas untuk mengelap kotoran motosikal, dan saya telah menggunakannya untuk mengelap rantai motor yang penuh dengan minyak hitam.
Apabila kami dibawa ke balai polis, kita mendapati polis memang tidak profesional. Kami ingin membuat laporan tentang apa yang telah berlaku tetapi tidak dibenarkan. Polis pula menahan kami atas laporan yang dibuat oleh Izaham. Ini adalah double-standard. Membuat laporan polis adalah hak asasi manusia.
Setelah kami ditahan, kami diminta menandatangani satu dokumen tanpa penjelasan, tapi apabila saya baca, ini ialah dokumen yang menafikan hak-hak untuk mendapatkan bantuan peguam, dan nasib baik peguam telah sampai di balai polis dan menyuruh saya supaya tidak menandatanganinya. Mendapatkan bantuan peguam juga merupakan hak asasi manusia.
Ketika pegawai inspektor (IO) suruh polis membawa kami ke lokap, kami meminta untuk membuat laporan polis, namun dia jawab kami boleh buat laporan polis pada pagi esok. Tetapi pada hari esok, iaitu 13 Julai, kami terus dibawa ke Majistret untuk dipanjangkan tempoh tahanan. Pihak polis meminta supaya tahanan disambung empat hari, atas nama tidak bekerjasama dengan polis. Adakah tidak menandatangani surat penafian hak-hak mendapat bantuan peguam dianggap sebagai tidak bekerjasama? Akhirnya kami dipanjangkan tempoh tahanan selama dua hari.
Tiada makanan dibekalkan
Selepas balik dari majistret, kami terus dibawa ke balai polis Brickfield dan tidak diberi makanan tengah hari. Kami meminta makanan tengah hari, tetapi polis berkata tiada makanan di balai polis Brickfield, makanan hanya dibekal di lokap. Kami dibawa ke balai polis Brickfield untuk diambil keterangan oleh pegawai inspektor (IO). Saya meminta supaya ditemani peguam ketika mengambil keterangan, tetapi tidak dibenarkan atas sebab kami telah berjumpa dengan peguam pada malam 12 Julai. Akhirnya, kami tetap memberi keterangan.
Pada pagi 14 Julai, kami dibawa untuk berjumpa special branch. Kami diasingkan ketika soal siasat dijalankan. Mereka menanya tentang maklumat peribadi saya, sama ada ahli keluarga terlibat dalam mana-mana parti politik. Selain itu, mereka kelihatan sangat berminat untuk mengetahui sebab saya berjumpa dengan kawan saya Redzuan. Oleh kerana itu hak peribadi, saya tidak memaklumkan apa-apa.
Candle Light Vigil budaya Kristian? Selain itu, mereka juga memberi keterangan tentang perhimpunan menyalakan lilin (candle light vigil) ini ialah budaya kristian, saya disuruh google Good Friday untuk maklumat yang lebih lanjut. Menurut mereka, ISA ialah akta yang perlu untuk menjaga keamanan, tetapi ISA ialah akta yang terakhir untuk digunakan, dan menasihati saya supaya tidak menghadiri himpunan mansuhkan ISA pada 1hb Ogos ini. Kalau hadir, kemungkinan besar akan masuk balik lokap.
Atas usaha orang ramai termasuk rayuan segera (urgent appeal), menelefon pegawai inspektor (IO) kami dan perhimpunan menyalakan lilin (candle light vigil) pada 13 Julai malam, kami telah dibebaskan tanpa bersalah. Saya tengah fikir, polis yang profesional harus menyiasat dan mendapatkan bukti barulah menangkap, tetapi kami telah ditangkap baru disiasat, ini telah menyebabkan kami ditahan dua hari, kehilangan kebebasan sebanyak dua hari. Polis yang profesional seharusnya menyiasat sebelum menangkap supaya rakyat tidak ditahan begitu sahaja.
Macam-macam dalam lokap
Selain itu, polis juga menangkap pembantu siasat sekali apabila menangkap orang yang disyaki.
Terdapat beberapa kes dalam lokap yang kami jumpai. Seorang didapati memilik dadah maka empat orang lagi teman serumah juga ditahan. Kami juga mendapati satu kes di mana seorang budak disyaki mencuri, tetapi nenek, ibu dan lima kanak-kanak lagi juga ditahan termasuk seorang yang berumur 1 tahun. Saya berasa kesian atas kejadian yang saya nampak.
Di samping itu, kedua-dua malam saya dalam lokap, kami berjumlah 20 lebih orang tidur dalam satu ruang yang kecil, dan saya terpaksa tidur dekat dengan tempat buang air kencing, mandi dan berak. Pengaliran air itu tersumpat, bau memang cukup kuat dalam lokap itu.
Polis Meminta Maaf
Sebelum kami dibebas, polis meminta maaf dengan kami, dan memberitahu mereka bukan orang yang suka menangkap orang, saya rasa kemungkinan besar mereka juga mengikut arahan atas yang sangat mengambil berat tentang kawan yang saya mahu jumpa iaitu Redzuan, Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa, dan memorandum kepada Perdana Menteri baru kami, YAB Najib yang baru berkuasa 100 hari pada 11 Julai. Seorang lagi pegawai inspektor (IO) memberitahu API (bukan Adademik Pengajian Islam) panas pada malam Ahad yang saya ditahan. Saya sempat berjumpa dengannya pada hari yang dibebas iaitu 14 Julai, tetapi dia tidak jawab soalan saya, api siapa yang panas?
*Ong Jing Cheng ditahan pada malam 12 Julai atas tuduhan “mencerobohi kawasan Universiti Malaya”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan