SUNGAI SIPUT (U) - Kerana bimbang keselamatan isterinya, V Kumaran, 32, sanggup gadai nyawa sendiri dengan meminjam wang daripada along
untuk membiayai kos perubatan isterinya.
Isterinya, M Kavita, 29, mengalami kecederaan serius akibat kemalangan di tempat kerja pada Jun lalu dan pernah disiarkan :Sinar Harian :pada
14 Jun 2009
Berikutan pihak majikannya enggan bertanggungjawab dan membayar pampasan, Kumaran mengambil risiko itu bagi menampung kos perubatan isterinya. Kumaran berkata, dengan pendapatan sebagai penoreh getah dia tidak mampu menyediakan kos perubatan isterinya yang mencecah puluhan ribu ringgit.
Menurutnya, isterinya terpaksa dihantar ke hospital swasta di Ipoh atas alasan ketiadaan doktor pakar di hospital kerajaan untuk merawat kecederaannya. “Kami orang susah dan saya hanya bekerja sebagai penoreh gerah sahaja. “Duit dengan saudara-mara pun sudah pinjam tetapi tidak mencukupi,” katanya.
Katanya, bagi rawatan dan ubat isteri, kosnya bernilai lebih RM30,000. “Saya meminjam RM15,000 dengan along dan selama lapan bulan saya membayar bunganya sebanyak RM1,000 sebulan. “Jika tidak dapat bayar nyawa kami dalam bahaya dan dalam masa sebulan saya kena sediakan juga RM1,000,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat PSM, di sini.
Bagaimanapun, atas usaha Ahli parlimen Sungai Siput (U), Dr Jeyakumar permohonan Kavita untuk mendapatkan bayaran ganti belanja kos perubatan sebanyak RM27,128 daripada Perkeso akhirnya diluluskan.
Walaupun pada awalnya permohonan itu mengalami sedikit masalah kerana Kavita mendapatkan rawatan di hospital swasta atas alasan munasabah akhirnya diterima. Kumaran berkata, wang bayaran ganti belanja itu digunakannya untuk membayar segala hutang termasuk kepada along.
“Kami berterima kasih kepada Dr Kumar dan Perkeso kerana menerima permohonan ini serta tidak meminggirkan masalah kami sebagai rakyat. “Saya akan gunakan wang ini untuk langsaikan hutang along dan membayar hutang saudara-mara walaupun masih banyak lagi yang belum mampu dibayar,” katanya.
Sementara itu, Kavita berkata, berikutan kemalangan itu sehingga kini dia masih mengalami gangguan kesihatan dan memerlukan rawatan. “Sekarang saya sudah tidak bekerja tetapi saya selalu tidak sihat kesan daripada kemalangan itu. “Selain itu, saya juga mengalami gangguan masalah penglihatan yang semakin kabur dan pendengaran,” katanya. Katanya, sehingga sekarang pihak majikan tidak memberikan sebarang maklum balas sedangkan kemalangan itu berlaku bukan kerana kecuaiannya.
Manakala, Dr Kumar berkata, pihak Socso mengambil tindakan sewajarnya apabila meluluskan permohonan itu walaupun menghadapi sedikit masalah. “Keluarga Kavita bukan sengaja pergi ke hospital swasta tetapi mereka terpaksa kerana nyawanya dalam bahaya. “Syabas kepada Socso kerana menjalankan tanggungjawab mengikut prinsip yang sebenar dalam membantu pekerja yang memerlukan bantuan sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya terkilan dengan sikap majikan yang enggan bertanggungjawab di atas kejadian itu. “Walaupun pihak kami ada bertemu dengan majikan itu untuk berbincang tetapi mereka tidak mahu mengambil tahu kes Kavita.
“Sehingga sekarang majikan itu masih tidak membayar pampasan atau ganti rugi,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan