THE INTERNATIONALE

free counters
COUNTER THE INTERNATIONALE INI MULA BEROPERASI PADA 17 DECEMBER 2009

AHLI KELAB SOSIALIS HIJAU

JIKA PAS JOIN UMNO ADAKAH ANDA AKAN

PANAS !! Nantikan siri-siri Pendedahan Jahat Mereka

Ahad, 17 Januari 2010

SIRI SEJARAH TANAH AIR - KISAH PENCEROBOHAN JEPUN - BAHAGIAN KE 5

Bahagian Keempat: Pengalaman Sejarah Dan Tradisi Mulia Parti Kita.

Bila tentera penceroboh Jepun menginjakkan kakinya di bumi tanah air kita, pada masa itu seratus lima puluh ribu tentera British telah terus-menerus berundur dan mengangkat bendera putih menyerah diri, maka fasis Jepun melakukan kekejaman di tanah air kita. Pada masa itu hanya Parti Komunis Malaya sajalah yang berani berjuang, berani meremehkan musuh, berani memimpin rakyat seluruh negeri melakukan perjuangan bersenjata dan telah mencapai hasil-hasil yang besar, akhirnya terus mencapai kemenangan. Tetapi pada masa itu bagi pihak kelas komprador tuan tanah dan birokrat, baik wakil-wakil mereka, pada mulanya mereka bergantung kepada imperialis British, kini mereka bekerjasama dengan fasis Jepun. Di sini kita buatkan beberapa contoh, umpamanya Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman pada waktu sebelum Jepun menceroboh Malaya, adalah seorang DO. Tetapi setelah Jepun mari, dia pun berkhidmat kepada Jepun. Seorang lagi Tun Abdul Razak. Tun Razak pada waktu Jepun adalah seorang juru bahasa. Tapi dia memihak Jepun dan berkhidmat kepada musuh. Lee Kuan Yew juga begitu. Pada masa Jepun, dia juga selaku seorang juru bahasa berkhidmat untuk kaum fasis Jepun. Pada masa itu, orang-orang yang terkemuka di masyarakat luar, semuanya telah berundur atau lari ke tempat-tempat lain, negeri-negeri lain atau menyorokkan diri. Tetapi hanya Parti Komunis Malaya sahajalah yang tampil ke hadapan untuk memimpin rakyat melawan musuh dengan gagah berani. Parti Komunis Malaya, satu-satunya pemandu massa yang terpercaya di saat-saat menghadapi ujian yang berat.

Dari pengalaman Parti kita sendiri telah membuktikan jika Parti kita dapat memainkan peranan di dalam usaha pembebasan maka usaha revolusi akan berkembang. Oleh sebab itu Parti, tentera, lasykar rakyat dan semua ormas (organisasi massa) telah berkembang. Dengan ini, kita dapat menguasai lebih separuh daripada bumi tanah air dan juga mempunyai pengaruh yang besar di kalangan massa dan di kalangan askar-askar, polis-polis, pegawai-pegawai kerajaan, orang-orang atasan dan lain-lain. Pada masa itu orang ramai gelar kita sebagai kerajaan hutan. Beginilah kita telah mencapai kejayaan yang sangat besar.

Kawan-kawan yang dikasihi, dengan adanya semangat berani berjuang, berani menang, berani meremehkan musuh dan mempunyai semangat berani mendaki gunung melati dan menerjun lautan api, maka Parti Komunis Malaya berani mengeluarkan seruan-seruan tempur yang jaya kepada massa seluruh negeri supaya angkat senjata melakukan perang gerila. Cuba kawan-kawan fikir, pada masa itu tentera fasis Jepun mempunyai kekuatan yang besar dan mereka mempunyai banyak pengalaman-pengalaman di medan peperangan bahkan seratus lima puluh ribu tentera British pun tak terlawan, hanya terus-menerus berundur dan menyerah diri. Di dalam keadaan demikianlah bagaimana Parti kita, lebih-lebih lagi pada masa itu sesetengah orang yang demokrat,mereka pun tak berkeyakinan Malaya boleh melancarkan perang gerila. Mereka berkata, Mao Zedong pun tidak menulis tentang masalah itu. Mereka tak percaya Malaya boleh melakukan perang gerila. Maka ini di segi teori kita nak menetapkan boleh atau tidak melancarkan perang gerila di Malaya pun menjadi satu masalah yang sangat-sangat penting. Tetapi, Parti kita berani berjuang, berani menang. Parti kita berani menetapkan bahawa di Malaya boleh melakukan perang gerila. Ini telah melahirkan satu semangat keberanian untuk melancarkan perang gerila. Dan pada masa itu, Parti kita telah menghadapi seribu satu macam kesukaran. Umpamanya tanpa pengalaman militer, tidak mempunyai senjata dan perbekalan, tanpa pengalaman di dalam hutan dan asas-asas di desa agak lemah jika dibandingkan dengan asas-asas di kota-kota. Tambahan lagi, pada waktu Jepun memijak bumi tanah air kita, organisasi Parti kita telah bercerai-berai. Kader-kader banyak yang berkorban dan tertangkap dan lain-lain. Akan tetapi, dengan adanya semangat berani berjuang, berani menang, berani meremehkan musuh yang ganas dan durjana, maka Parti telah membentuk Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) yang pertama dipimpin oleh Parti proletar, dengan tidak menghiraukan segala-gala kesukaran di atas tadi, dan akhirnya terus melakukan perjuangan-perjuangan hingga mencapai kemenangan yang besar di dalam Perang Anti-Jepun.

Selainnya, dengan adanya semangat berani berjuang, berani menang maka seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita telah memperlihatkan semangat kepahlawanan, semangat keperwiraan di dalam pertempuran-pertempuran dan di dalam perjuangan-perjuangan. Kesah-kesah yang heroik mereka itu telah melukiskan sajak yang gilang-gemilang di dalam lembaran sejarah pembebasan Malaya. Peristiwa “1 September” adalah contoh yang paling tipikal pencerminan semangat kepahlawanan kader-kader dan kawan-kawan kita. Dan banyak lagi pahlawan-pahlawan terkorban dan menyumbangkan darah segar mereka demi usaha pembebasan Malaya. Peristiwa ramai-ramai menyerbu keluar dari penjara Selangor pada waktu Jepun juga sangat menggemparkan musuh dan memberangsangkan rakyat seluruh Malaya.

Yang kedua, semangat organisasi dan semangat disiplin yang teguh. Berkat adanya semangat organisasi, semangat disiplin yang teguh dari kader-kader dan kawan-kawan kita maka di bawah bimbingan garis Parti yang tepat, kita telah memperolehi perkembangan dan kemenangan yang besar dalam perang anti-Jepun. Pada waktu Jepun, seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita mempunyai semangat organisasi dan semangat berdisiplin yang sangat-sangat baik. Pertama-tamanya ialah sikap baik terhadap organisasi. Mereka patuh kepada organisasi dengan tanpa syarat. Mereka tidak pernah menolak dan memilih-milih tugas. Apa yang disuruh oleh Parti, itulah dibuat. Mana yang ditunjuk oleh Parti, situlah pergi. Mereka menjalankan tugas Parti tanpa menghiraukan keadaan yang merbahaya, keadaan yang mengancam mereka, tanpa menghiraukan segala-gala kesulitan, sakit demam dan juga tidak mengira nama, kedudukan atau untung rugi diri sendiri. Di dalam hati mereka hanya memikir satu masalah sahaja, iaitu bagaimana menghalau fasis Jepun keluar dari Malaya, bagaimana melaksanakan tugas Parti dengan menonjol.

Di sini bolehlah saya buatkan beberapa contoh. Umpamanya pada waktu perang melawan Jepun, keadaannya sangat-sangat bergelora. Tentera fasis Jepun sentiasa melancarkan serangan-serangan terhadap kita. Tetapi kawan-kawan kita tidak takut keadaan yang merbahaya, tetap mengobarkan semangat tak takut mati, tak takut susah untuk menjayakan tugas Parti, untuk menjalankan keputusan-keputusan yang ditetapkan oleh Parti. Ketika itu kawan-kawan kita ramai yang mengidap penyakit malaria, demam kura, mereka sentiasa bekerja di dalam keadaan sakit, tetapi semangat tetap berkobar-kobar. Ada kalanya di tengah jalan telah sakit. Maka terpaksalah berhenti menyorokkan diri ke tepi jalan, bersembunyi dalam daun lalang. Setelah sedar pada suatu ketika barulah keluar meneruskan perjalanan. Ada kalanya tengah-tengah mesyuarat, tengah-tengah metting ketar pula. Maka terpaksa rehatlah sebentar, baring sebentar, lepas itu bangun pula untuk meneruskan mesyuarat. Tapi kawan-kawan kita tidak menghiraukan sakit, tiga tahun lapan bulan masa sakitnya hampir tiga tahun bagi sesetengah kawan, tetapi tidak mengganggu sedikit pun pekerjaan sendiri.

Satu contoh lagi umpamanya Kawan Chen Ping sendiri, Setiausaha Agong Parti Komunis Malaya. Mula-mula Jepun menceroboh Malaya, beliau bekerja di kawasan xx. Beliau selain membuat kerja-kerja memimpin, beliau sendiri juga menulis bahan-bahan penerangan, kemudian sendiri menulis stensel dengan cepat, dan terus bekerja dengan kencang.

Kawan Chen Nan juga begitu. Pada mula-mula perang anti-Jepun, beliau bekerja di kalangan massa, bertanggungjawab memimpin Liga Anti-Jepun. Selain daripada membuat kerja-kerja organisasi, beliau sendiri juga menjadi utusan, beliau sendiri juga menghubungi pihak organisasi dan menghubungi kawan-kawan serta memimpin satu kawasan yang luas. Kemudian beliau juga ditranfer sampai kawasan timur untuk bekerja di sana. Beliau sangat-sangat kencang dalam pekerjaan. Kalau kawan-kawan lain satu hari hanya dapat membawa satu kali mesyuarat di salah satu kampung, tetapi Kawan Chen Nan membawa mesyuarat 3-4 buah kampung (3-4 tempat). Beliau mempunyai prestij (kewibawaan) yang sangat tinggi di kalangan massa rakyat di sana.

Satu contoh lagi umpamanya salah seorang kawan yang bekerja di Perak. Beliau tetap bekerja siang berganti malam sehingga beliau demam pada siang hari pukul 12, tetapi sampai malam beliau pun meninggal dunia. Ini telah menunjukkan betapa tingginya semangat bekerja, dan keghairahan revolusioner kawan tersebut. Dan banyak lagilah contoh-contoh yang lain.

Tentang semangat organisasi disiplin ada satu yang patut ditegaskan ialah semangat mencintai pimpinan Parti. Pada masa itu, kader-kader dan kawan-kawan sangat menghormati pimpinan Parti, mengkagumi pimpinan Parti. Dalam masa perang anti-Jepun semangat disiplin kader-kader dan kawan-kawan kita juga sangat baik. Mereka mempunyai kesedaran diri sendiri untuk menaati disiplin, menaati kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan. Kawan-kawan kita menjaga rahsia Parti dengan baik. Segala-galanya ikut saluran organisasi. Selainnya sangat mengambil berat tentang keputusan mesyuarat. Pada masa itu, sentiasa diadakan mesyuarat-mesyuarat Parti. Agendanya mudah, satu keadaan internasional. Dua, mengkaji keadaan dalam negeri. Selepas itu, laporan kerja, ulang kaji dan perbincangan. Dan juga sentiasa diadakan kritik-mengkritik untuk menyelesaikan segala-gala pertentangan di dalam fikiran atau pertentangan antara kawan dengan kawan. Semasa itu, kawan-kawan kita sangat mengambil berat tentang kehidupan mesyuarat, ada kalanya mesyuarat diadakan siang berganti malam, atau sampai beberapa hari langsung tak tidur, terus mesyuarat sampai selesai barulah mula bekerja, ertinya kehidupan sangat-sangat kencang.

Pada waktu perang anti-Jepun, semangat kerjasama antara kader-kader dan kawan-kawan pun sangat baik. Sesama kader-kader saling hormat-menghormati, saling belajar mempelajari, sangat kasih mesra, semangat perbincangan baik. Hubungan antara kawan dengan kawan juga baik. Saling tolong bantu dan jika ada apa fikiran secara tulus ikhlas bentang di atas meja. Tidak bercakap-cakap di belakang. Pada waktu Jepun, kawan-kawan kita banyak membuat jasa. Tetapi mereka tidak sombong, tidak congkak, sebaliknya semua jasa diserahkan kepada Parti dan sangat menghormati perintah atasan. Walaupun sesetengah kawan kita memimpin kawasan-kawasan yang luas, tetapi mereka segala-galanya patuh kepada organisasi. Tidak berlagak sebagai raja tempurung atau menganggap kawasan itu sebagai kawasan untuk diri sendiri. Selainnya, kawan-kawan kita juga sangat-sangat menyayangi buku-buku Parti, menyayangi surat khabar Parti. Mengambil berat untuk membaca dan mengedarkan buku-buku Parti, surat khabar-surat khabar Parti ke berbagai-bagai tempat.

Yang ketiga ialah, semangat tak takut susah payah, hidup sederhana. Semangat tahan susah payah dan hidup sederhana merupakan langgam terpuji dan tradisi mulia dari Parti dan tentera kita pada waktu perang anti-Jepun. Seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita telah dapat mempertahankan perang gerila dalam keadaan yang sangat-sangat sukar, tetapi seluruh kawan-kawan dan kader-kader telah memperlihatkan langgam yang terpuji dan terbentuklah tradisi yang revolusioner ini. Kawan-kawan kita semua faham, pada waktu kita melakukan perang anti-Jepun ialah di dalam keadaan yang sangat-sangat sukar. Kehidupan kita ialah kehidupan gerila. Yang pertama sekali ialah tak cukup perbekalan dan makanan. Mula awal-awal lagi, kawan kita kebanyakan makan beras kapur.

Pada tahun 1944, Rejimen Pertama masih makan ubi kayu campur nasi. Ubi kayu di Selangor pula kecil-kecil belaka kerana di sana banyak lombong bijih. Di stet-stet yang lain sampai pertengahan atau akhir-akhir perang anti-Jepun, keadaannya ada perubahan sedikit, umpamanya setiap orang diberi 7 gantang beras. Setiap orang lapan pot. Tetapi kerana pandangan ekonomi kawan kita sangat tepat, walau pun Parti bagi 7 gantang beras, (campur) dengan ubi kayu, tetapi mereka tidaklah ambil 7 gantang, sentiasa kurangkan jumlah itu. Dan sesetengah tempat masih sangat sukar lagi. Umpamanya, kawan Jasman, beliau adalah kader dari Rejimen Ke-4. Maka pasukan yang beliau duduk itu, sampai akhir-akhir atau sampai masa Jepun menyerah diri, pasukan beliau masih makan ubi keledek lagi, ertinya masih belum ada beras lagi.

Di segi alat-alat kelengkapan pun serba-serbi kurang. Pada masa itu tak ada uniform. Kawan-kawan kita pakai pakaian biasa sahaja. Dan barang-barang runcit pun sangat kurang. Setiap orang tentera sangat ringkas di segi alat kelengkapan. Biasanya seorang kawan ada dua pasang seluar baju, sehelai selimut, barang yang lain tak ada belaka. Kain getah pada zaman itu langsung tak ada lagi. Pada masa itu juga tak ada haversyek. Pakaian mereka dibungkus di dalam kain menjadi satu bungkusan, kemudian ikat pada badan sendiri. Alat-alat kerja pun sangat sukar. Pada masa itu, buku-buku Parti dicetak daripada kertas orang-orang Tionghua menyembah tok kong. Ertinya tiadalah kertas-kertas yang baik. Tetapi kawan-kawan kita sangat-sangat gemar membaca buku-buku Parti dan surat khabar-surat khabar Parti. Alat-alat muzik di dalam pasukan juga tak ada. Kita dengar cerita di Rejimen Pertama, mereka menciptakan alat-alat muzik sendiri, umpamanya gunakan tempurung, gunakan alat ini dan itu untuk membuat alat-alat muzik sendiri.

Di segi perubatan lebih sukar lagi. Pada masa itu tak ada ubat injeksyen. Kalau adapun sangat-sangat kurang. Kawan-kawan kita yang demam kura tiada ubat injeksyen, dan tiada tablet, hanya gunakan air kuining. Air kuining semua kawan pun faham sangat-sangat pahit. Tetapi kerana tiada ubat yang lain, terpaksalah minum juga. Selain daripada kawan-kawan yang demam, pun ada suatu penyakit lagi, iaitu usus buta. Usus buta ini boleh katakan hampir seluruh kawan yang kena. Ini menimbulkan banyak kesulitan, khasnya pada waktu malam nak tidur susah, kalau gatal hanya garu sahaja. Tetapi pada masa itu, sakit-sakit pun tidak menghalangkan pekerjaan kita. Kawan-kawan kita memandang sakit itu macam tak ada sakit. Tak ada baring, sakit-sakit pun bekerja dan belajar terus. Cuba kawan ingat kembali, bagaimana Kawan Yang Li, Kawan yang menciptakan lagu Pembebasan Malaya ini, oleh kerana sakit dan kerana kekurangan perubatan maka beliau telah terkorban. Masa itu seluruh kader-kader dan kawan-kawan kita sangat mengambil berat kehidupan politik. Mereka meremehkan kehidupan material. Oleh sebab itu, walaupun keadaan sangat sukar, walaupun tak cukup material, walaupun tak cukup makanan, walaupun tak cukup perubatan, akan tetapi seluruh kawan-kawan dan kader-kader tetap bekerja dengan semangat yang berkobar-kobar, keghairahan revolusioner tetap meluap-luap, tetap optimistik.

---
bersambung dengan: Tentang Rejimen-Rejimen Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya

Tiada ulasan: