TERKENA SERANG HENDAP ASKAR UPAHAN PENJAJAH
"Setelah selesai urusan musuh membersihkan medan pertempuran, barulah dikeluarkan perintah membakar lalang di rusuk kiri tempat kami bersembunyi itu. Jam pukul 1 lebih sedikit, kepansan terik matahari sudah cukup membakar tubuh kami. Apa lagi ditambah pula dengan kehangatan bahang api lalang itu. Cuma Allah sajalah yang tahu betapa panasnya yang kami tanggungi."
Pada penghujung bulan Februari 1951, Ah Chin (isteri Chen Nan) seorang penanggungjawab Stet Komiti bersama satu pasukan utusan datang ke tempat saya. Oleh kerana utusan yang hendak pergi ke Mentakab itu banyak membawa benda-benda penting sedangkan hendak pergi ke organisasi Area Komiti di Kampung Batu 7 itu harus melalui beberapa tempat penting dan bahaya umpamanya menyeberangi Sungai Semantan, menyusuri Kinoni Estet, menyusuri Sungai Kepung di Al-Al Estet, kemudian menyeberangi jalan raya Mentakab – Bentong barulah masuk ke jalan kampung Tionghua Batu 7. Oleh itu, sebab selok belok jalannya saya mengetahui, lantas merupakan kawasan tempat saya bekerja, lalu Kawan Ah Chin meminta saya pergi bersama utusan, ditugaskan untuk membawa barang-barang penting seperti satu bungkus (beg) wang, satu tin ovaltine barang-barang emas dan sejumlah dokumen penting lainnya.
Dalam perjalanan itu, kira-kira 95 peratus lancar, tetapi bila sampai melangkah ke jalan raya untuk memasuki jalan kampung yang biasanya hari-hari ada massa aktif kita berkawal di situ secara menyamar selaku pembakar arang, tetapi pada waktu itu ia tiada. Bila saja kami masuk ke kampung dan sedang berjalan di sebatang batas bendang menuju ke satu rumah di depan, maka askar yang bersembunyi di pangkal batas bendang dan askar yang menghendap di sekitar sebuah rumah di depan mencurahkan tembakan yang dahsyat. 3 orang kawan yang berjalan di depan terkorban dan seorang kawan di belakang saya juga gugur. Kawan yang paling belakang belum lagi masuk dalam lengkongan hendapan terselamat. Manakala saya dengan seorang siao kui (perajurit kecil tentera tani) yang bersenjatakan shotgan berbaring di atas tanah itu tanpa bergerak kerana terus dihujani tembakan yang dahsyat.
Musuh mengagak kami sudah mati semuanya. Oleh itu 3 orang askar yang datang dari pangkal empangan tidaklah benar-benar bersiap sedia khususnya askar di depan yang berjarak 4-5 meter dari saya. Dia tengok saya meniarap, tapi mata masih celek, lalu dia mengangkat sebelah tangannya suruh saya bangun. Ketika itu juga saya lepaskan tembakan pistol, dia jatuh tersungkur dan mati manakala 2 orang askar di belakang melihat rakannya mati, mereka cepat-cepat lari meniti batas bendang. Askar-askar lain di jurusan depan dan belakang menghujankan tembakan ke atas kami. (Gambar: para perajurit TRM sedang berlatih dengan tekun untuk menghadapi pertempuran terkena
serang hendap tentera upahan penjajah)
serang hendap tentera upahan penjajah)
Tempat itu benar-benar tempat maut. Di sebelah jalan masuk tadi iaitu di pangkal kampung ada sebuah rumah massa dipenuhi askar musuh, jalan di sebelah hadapan yang berjejeran rumah juga dipenuhi askar musuh, di sebelah rusuk kanan ialah bendang, di sebelah kiri jalan raya Mentakab – Bentong yang cuma dilindungi oleh sebuah anak bukit kecil (tanah tinggi) yang ditumbuhi rumput-rumput, lalang yang setinggi lutut. Di rusuk kiri inilah saya ajak siao kui bergerak secara merayap-rayap menuju setompok lalang yang setinggi atas sedikit pada lutut di dalam hujanan peluru musuh.
Jam pukul 1.00 tengah hari, musuh mulai memberhentikan tembakan untuk membersihkan medan, mengumpul mayat, senjata dan barang-barang rampasan. Ramai askar sibuk ke hulu ke hilir di jalan. Ada askar yang nampak kesan-kesan rumput bekas kami bergerak tadi cuba mengesaninya 4 – 5 langkah, tapi dicegah oleh Kaptannya, “Jangan pergi”, katanya.
Dari tempat kami berlindung itu, tak sampai 10 meter dengan jalan, segala perkataan dan gerak geri musuh dapat diperhatikan dengan jelas. Setelah selesai urusan musuh membersihkan medan pertempuran, barulah dikeluarkan perintah membakar lalang di rusuk kiri tempat kami bersembunyi itu. Jam pukul 1 lebih sedikit, kepansan terik matahari sudah cukup membakar tubuh kami. Apa lagi ditambah pula dengan kehangatan bahang api lalang itu. Cuma Allah sajalah yang tahu betapa panasnya yang kami tanggungi.
Allah S.W.T. yang maha pengasih lagi maha penyayang itu telah memberikan limpah kurnia-Nya melindungi kami. Api terus membakar rumpun lalang yang kering itu hingga hangus, bumi menjadi hitam. Tapi setompok lalang tempat kami berlindung itu tidak dirayap api. Beberapa ekor ayam hutan pula cuba merayap-rayap hendak menyusup berlindung ke setompok lalang tempat kami itu, tetapi terkejut dan terketak-ketak terbang lari melihatkan kami berada di situ.
Pukul 2 lebih petang, sekumpulan askar dan petugas yang hendak mengambil mayat untuk dibawa keluar itu sampai. 160 lebih orang musuh yang ada di situ masing-masing bersiap hendak makan tengah hari. Kami berdua tetaplah meniarap di dalam tompokan lalang di tengah-tengah panas terik itu tanpa bergerak sedikitpun dengan siap sedia bertempur hingga habis peluru pistol dan shotgan. Kami juga untuk bersedia berundur bila askar musuh meninggalkan persekitaran itu.
Rupa-rupanya musuh tak keluar pada petang itu. Pukul 4 petang, askar-askar musuh mulai memasang khemah tempat tidurnya. Pukul 5 petang, 2 platun lagi askar Melayu dari kem Batu 5 Mentakab yang tak jauh dari situ sampai sebagai tambahan. Ini menjadikan 200 orang lebih askar berada di sisi kami.
Jam pukul 8 malam, kami mulai merayap-rayap mara menuju ke hujung kampung. Bila sampai ke sebuah caruk di kampung itu di mana khemah-khemah askar berjejeran di sepanjang tepi caruk, ketika itu kami nampak askar-askar ada yang sedang berbaring-baring, ada yang sedang bersembang-sembang 2,3 orang satu kumpulan, ketika itulah secara cepat kami berlari melintasi celah-celah khemah musuh itu, memasuki caruk ke seberang sana mengikuti jalan menuju ke hujung kampung. Beberapa minit setelah kami menyeberangi caruk, barulah kedengaran tembakan hebat diberondongi oleh askar-askar musuh itu. Malam itu kami tidur, cuma sekadar rihat-rihat saja di sebuah rumah massa di hujung kampung.
Esoknya, pagi-pagi lagi kami masuk ke kem Area Komiti. Setiap kawan di situ datang dan masing-masing berpeluk-pelukan dengan perasaan yang amat gembira. Setelah itu, saya menyerahkan bungkusan wang, tin berisi emas dan surat-surat penting yang hendak dihantarkan kepada organisasi parti di Mentakab kepada penanggungjawab Area Komiti serta membuat laporan tentang serangan musuh.
“saya mengetahui jelas”, kata penanggungjawab Area Komiti. “Sebab musuh melakukan serangan hendap ini ialah kerana orang kita di pintu jalan masuk kampung yang menyamar diri sebagai pembakar arang itu berkhianat, menerima wang hadiah daripada seorang jutawan kontra-revolusi di Mentakab lalu membocorkan rahsia bahawa dalam masa 2 hari ini ada sekumpulan utusan akan melalui jalan itu”.
---
Nota: dipetik dari tulisan Abu Samah Mohammad Kassim: SEJARAH DAN PERJUANGAN KEMERDEKAAN, terbitan Nan Dao Publisher, Disember 1996
Tiada ulasan:
Catat Ulasan