I
Dalam sejarah benua Asia terdapat tiga wilayah besar iaitu Alam Melayu, China dan India, masing-masing dengan sejarah yang lama dan peradaban yang kaya raya. Tiga wilayah ini merupakan tempat tumbuh dan berkembangnya tiga bangsa besar dalam sejarah Asia iaitu Melayu, China dan India, masing-masing dengan tamadunnya yang terkenal dari timur hingga ke barat.
Seperti kita ketahui, dalam sejarah orang Melayu adalah pengasas masyarakat bertamadun negara kita. Mereka telah melampaui masyarakat primitif, kemudian masyarakat perhambaan serta masyarakat feudal. Dalam perjalanan sejarah yang panjang ini, bangsa Melayu telah terbentuk secara beransur-ansur iaitu dalam proses peralihan daripada masyarakat primitif ke masyarakat berkelas, daripada kumpulan pertalian darah atau perseikatan suku kepada negara. Menurut pandangan historikal materialisme, peralihan ini memulakan langkah pertama ke arah pembentukan bangsa. Demikianlah muncul bangsa Melayu di panggung sejarah sebagai satu komuniti manusia yang mantap yang terbentuk dalam sejarah dengan bahasa bersama, wilayah bersama, kehidupan ekonomi bersama serta unsur psikologi bersama yang diperlihatkan dalam kebudayaan bersama di rantau Alam Melayu ini.
Dari zaman Kerajaan Funan termasuk Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Sriwijaya dan Kerajaan Majapahit, bangsa Melayu menganut agama Hindu dan Budda. Akan tetapi apabila Islam tersebar ke Alam Melayu khasnya setelah berdirinya Kerajaan Melaka pada tahun 1400, orang Melayu telah memeluk agama Islam. Sungguhpun begitu, tradisi sosiobudaya Hindu-Budda masih banyak mempengaruhi masyarakat Melayu khasnya dalam adat resam, kesenian, kesusasteraan Melayu klasik dan lain-lain.
Perkembangan bangsa tak terpisahkan daripada perkembangan masyarakat khasnya perkembangan ekonomi, politik, kebudayaan dan bahasa masyarakat itu. Begitu juga perkembangan bangsa Melayu. Pada zaman Kerajaan Melaka yang masyhur dengan kemakmuran ekonominya serta utuh kekuatan politik dan masyarakatnya, bangsa Melayu terus berkembang sebagai bangsa yang merdeka dengan tamadun yang tinggi. Dalam zaman ini telah berkembang hasil-hasil seni, sastera, muzik, tarian, seni ukir, seni bina dan lain-lain. Hasil-hasil ini selain mewarisi ciri-ciri bangsa Melayu sebelumnya, kini mula mencerminkan ciri-ciri baru tradisi Islam Timur Tengah yang digemblengkan dengan tradisi tempatan. Ciri-ciri Islam ini istimewa menonjol dalam wajah rohaniah bangsa Melayu sampai ke hari ini.
Akan tetapi, di depan pencerobohan dan pendudukan kuasa-kuasa penjajah asing khususnya kuasa-kuasa penjajah barat - Portugis, Belanda, Inggeris, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Jepun - Alam Melayu tidak dapat memelihara keutuhannya. Alam Melayu sebahagian demi sebahagian telah dilapah-lapah dan dibelah bahagikan menurut lingkungan pengaruh kuasa-kuasa penceroboh tersebut sehingga terbentuklah negara-negara yang berlainan dan bangsa-bangsa yang berlainan berdasarkan syarat-syarat sejarah yang baru yang dapat kita lihat Malaysia, Indonesia, Filipina dan lain-lain. Satu unsur penting yang sama yang melahirkan baik bangsa Malaya (Malaysia) mahupun bangsa Indonesia atau bangsa Filipina ialah perang yang berjangka panjang serta perjuangan-perjuangan bentuk lainnya melawan pencerobohan asing dalam mewujudkan negara bangsa yang merdeka dan berdaulat. Dalam proses perjuangan itu terbentuklah kesedaran nasional bersama yang menggemblengkan penduduk-penduduk dalam wilayah masing-masing itu.
Di Tanah Melayu, bangsa Melayu telah dijajah oleh kuasa barat sejak 1511 lagi. Pencerobohan kuasa-kuasa asing telah mengubah masyarakat negara kita dari masyarakat feudal menjadi masyarakat tanah jajahan dan setengah feudal. Bangsa Melayu telah mengalami perubahan yang sangat besar iaitu daripada bangsa yang unggul dan merdeka yang telah mencapai taraf tamadun tertentu menjadi bangsa yang terjajah dan tertindas. Sebagai bangsa yang terjajah dan tertindas, orang Melayu terus mengalami pukulan-pukulan yang berat dan kemunduran besar dalam ekonomi, politik, sosial, kebudayaan, bahasa dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian demi mengembalikan kemerdekaan tanah air dan maruah bangsa, orang Melayu telah melancarkan perang patriotik dan perang tani yang masyhur dalam sejarah - dengan demikian terbentuklah tradisi patriotisme bangsa Melayu.
Sejak paruh kedua abad ke-19, masyarakat Tanah Melayu telah berubah menjadi masyarakat berbilang kaum. Orang Cina dan India di Malaya berasal daripada dua bangsa terbesar di Asia. Mereka dibawa masuk secara besar-besaran ke Malaya untuk menjadi lembu perahan kaum kapitalis monopoli British dan lain-lain di lombong-lombong, estet-estet, jalan-jalan raya dan jalan kereta api, pelabuhan-pelabuhan dan sebagainya. Setelah berada di Malaya, mereka hidup dan bekerja di satu alam material dan rohaniah yang baru, yang berbeza sama sekali dengan tempat asal mereka. Melalui beberapa dekad tinggal di sini, mereka beransur-ansur menjadi mantap sebagai tenaga produktif yang maju serta komponen penting masyarakat Malaya. Dengan demikian lahirlah kelas proletariat di Malaya.
Perubahan ekonomi dan masyarakat secara besar-besaran ini telah membawa perubahan baru kepada perkembangan bangsa di sini. Malaya tidak lagi menjadi negeri yang didiami orang Melayu atau Orang Asli semata-mata, tetapi didiami bersama oleh kaum Cina dan India yang sudah memutuskan ikatan politik mereka dengan negara asal serta menjadikan negara ini tempat tumpah darah mereka dan tumpuan taat setia mereka.
Di bawah syarat-syarat sejarah dan material baru inilah, bukan saja orang Cina dan India berubah, dan berkembang menjadi komponen bangsa yang baru di Malaya, tetapi juga bangsa Melayu pun turut berubah sama menjadi bangsa Malaya. Akan tetapi, oleh kerana masyarakat Tanah Melayu atau Malaya merupakan masyarakat terjajah, bangsa Malaya yang berbilang kaum tidak dapat berdiri tegak dan berkembang makmur sebagai satu kesatuan yang utuh dengan perpaduan nasional yang erat. Hanya melalui perjuangan bersama dalam masa yang panjang menentang penjajahan asing dengan berlandaskan patriotisme Malaya khasnya melalui Perang Pembebasan Nasional Anti-Jepun dan Perang Pembebasan Nasional Anti-British, barulah bangsa Malaya beransur-ansur terbentuk dan bersatu hingga tercapainya kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Perjuangan bersama rakyat semua kaum serta parti-parti patriotik-demokratik telah berjaya menamatkan kekuasaan penjajahan di tanah air kita yang wujud selama lebih 400 tahun serta lahirlah bangsa Malaya.
Proses kelahiran bangsa Malaya yang berbilang kaum ini boleh diringkaskan sebagai berikut:
1. Orang Melayu telah melancarkan perang-perang patriotik dan perjuangan-perjuangan adil lainnya melawan kaum penjajah demi kemerdekaan tanah air sejak tahun 1511 lagi dan telah membentuk tradisi patriotisme Melayu.
2. Setelah terbentuknya masyarakat berbilang kaum sejak paruh kedua abad ke-19, rakyat berbilang kaum telah bersama-sama menciptakan kekayaan masyarakat. Kerana dorongan dari gerakan kemerdekaan seluruh dunia khasnya revolusi China, revolusi Indonesia, gerakan kemerdekaan India dan lain-lain, kaum proletariat Malaya (khasnya anasir maju kelas buruh Cina) telah mendirikan Parti Komunis Malaya pada tahun 1930. Kerana dorongan gerakan kemerdekaan tersebut juga, golongan terpelajar Melayu yang terdorong dengan semangat patriotisme dan demokratik telah menubuhkan KMM pada tahun 1937. KMM adalah parti politik nasionalis Melayu yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu.
3. Setelah meletusnya Perang Dunia Kedua pada Disember 1941, PKM telah melancarkan perjuangan bersenjata melawan Jepun. Dalam pada itu KMM bekerjasama dengan Jepun. Bulan Jun 1942 diharamkan.
4. Pada tahun 1945 PKMM telah didirikan untuk meneruskan perjuangan KMM. PKMM dengan lantang mengemukakan semboyan merdeka sebagai dasar perjuangannya. Ia telah menggembleng kekuatan-kekuatan patriotik-demokratik iaitu nasionalis, agama dan sosialis. Pada tahun 1945, golongan pertengahan telah mendirikan UMNO dengan semboyan Hidup Melayu. Dasar perjuangannya ialah menyatukan bangsa Melayu tetapi menentang kemerdekaan. Ketika itu telah muncul dua aliran besar dalam sejarah bangsa Malaya iaitu PKMM yang mewakili golongan patriotik-demokratik dari aliran nasionalis, agama dan sosialis yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air dengan UMNO yang didirikan oleh golongan pertengahan Melayu yang bekerjasama dan memihak penjajah. Pada tahun 1947 berdirilah front persatuan PUTERA - AMCJA yang terdiri daripada berbilang kaum dan berbagai aliran patriotik-demokratik berjuang untuk kemerdekaan dengan berlandaskan patriotisme Malaya secara berperlembagaan dan menggubal 10 PRINSIP PERLEMBAGAAN RAKYAT yang mencerminkan hasrat semua kaum di Malaya. Ketika itu UMNO yang dimenangi oleh penjajah telah mendapat saingan yang amat berat. Perjuangan bangsa Malaya untuk kemerdekaan telah membahana ke seluruh negara.
5. Pada 20 Jun 1948, penjajah British telah mengharamkan semua pertubuhan patriotik-demokratik serta menangkap para pemimpin dan anggotanya. Perlu dijelaskan di sini bahawa pengharaman semua parti tersebut telah memungkinkan UMNO menjajakan dirinya tanpa sebarang saingan. Kerana gerakan patriotik-demokratik menghadapi tekanan hebat, PKM bersama sebahagian anggota PKMM telah melancarkan perang melawan penjajah British manakala sebahagian anggota pertubuhan patriotik demokratik lainnya meneruskan perjuangan dengan mendirikan parti-parti baru atau memasuki UMNO. Dengan demikian arus kemerdekaan mula melanda dalam tubuh UMNO. Mulai dari saat itu UMNO mengubah semboyan Hidup Melayu kepada Merdeka. Pada tahun 1955 berlangsung pula Perundingan Baling untuk menamatkan peperangan dan mewujudkan perdamaian antara PKM dengan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Akan tetapi Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang masih ditunjangi penjajah ketika itu tidak memberikan jalan kepada golongan patriotik-demokratik untuk sama-sama memperjuangkan kemerdekaan secara berperlembagaan.
6. Pada 31 Ogos 1957, penjajah British terpaksa mengakui kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada UMNO. Dengan demikian lahirlah bangsa Malaya yang merdeka melalui perjuangan bersama yang bertumpah darah dalam masa panjang oleh rakyat berbagai kaum. Ini telah membuka lembaran baru dalam sejarah tanah air kita. Tetapi kemerdekaan ini tidak sempurna, perang tidak dapat ditamatkan. Bangsa Malaya harus terus berjuang untuk kemerdekaan penuh dan pembebasan sejati bangsa, tanah air dan rakyat.
II
Masalah bangsa harus dibentangkan dari sudut sejarah dan ekonomi. Masalah bangsa hanya dapat diselesaikan jika ia dipandang daripada dan dihubungkan dengan syarat-syarat sejarah yang wujud dalam bangsa itu sendiri. PKM dalam pernyataan 18 Jun merumuskan bahawa "orang Melayu adalah pengasas masyarakat tamadun negara kita, adalah kaum yang paling lama sejarahnya dan agak ramai penduduknya di negara kita. Orang Melayu pernah memainkan peranan yang penting dalam sejarah perjuangan anti-penjajah. Kita harus menghormati kedudukan istimewa orang Melayu di negara kita dan melindungi hak dan kepentingan orang Melayu yang semestinya". Seterusnya pernyataan tersebut menegaskan: "orang Cina dan orang India merupakan komponen utama dalam keluarga besar negara kita yang berbilang kaum. Mereka juga mempunyai penduduk yang ramai dan telah membuat sumbangan yang positif dalam menciptakan kekayaan masyarakat dan memperjuangkan kemerdekaan negara. Kita harus menghormati kedudukan penting orang Cina dan orang India di negara kita dan melindungi hak dan kepentingan wajar mereka. Selain itu kita juga harus memperhatikan tuntutan-tuntutan munasabah kaum-kaum minoriti." Formula ini dirumuskan berdasarkan ciri-ciri khusus masyarakat negara kita denganbertolak daripada prinsip mencari kebenaran dari kenyataan.
Bangsa berkembang seiring dengan perkembangan masyarakat, maka ia mempunyai sifat dan isi yang berlainan dalam masa sejarah yang berlainan dan di bawah syarat-syarat yang berlainan. Bangsa juga berubah seiring dengan perkembangan terus-menerus masyarakat umat manusia. Perkembangan bangsa serta hubungan bangsa paling pokoknya ditentukan oleh perkembangan tenaga produktif masyarakat dan pembahagian kerja dalam masyarakat serta oleh dasar material masyarakat.
Setelah merdeka, masyarakat negara kita telah mengalami perubahan-perubahan besar baik di bidang ekonomi mahupun politik, sosial, bahasa, pendidikan dan lain-lain. Ini telah mempengaruhi dengan nyata sekali perkembangan bangsa di negara kita.
1. Ekonomi: Dalam masa penjajah British, kedudukan ekonomi masing-masing kaum ditentukan secara ketara oleh British. Orang Melayu tinggal di desa-desa menjadi petani atau nelayan, mengerjakan sawah padi, menoreh getah ataupun menangkap ikan manakala orang Cina dan India bekerja di lombong-lombong dan estet-estet sebagai buruh. Ketiga-tiga kaum ini hidup secara terpisah-pisah dan kurang sekali interaksi serta pergaulan antara mereka. Di segi pembangunan ekonomi kapitalis tanah jajahan, proletariat Cina dan India merupakan jumlah terbanyak tenaga produktif.
Selepas merdeka, khasnya selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, keadaan masyarakat berubah dengan agak pesat sekali. Orang Melayu yang dulunya kebanyakan tinggal di desa kini membanjiri kota-kota mencari pekerjaan. Proletariat Melayu lahir dan membesar dengan tiada taranya. Dengan demikian kelas buruh negara kita telah berubah menjadi berbilang kaum, bercampur gaul dan bersatu dalam pekerjaan dan perjuangan bersama. Di segi penguasaan ekonomi, kelas kapitalis birokrat dan komprador Melayu sudah menguasai 30 peratus sektor korporat negara manakala selebihnya dikuasai oleh kapitalis besar asing serta kapitalis-kapitalis besar Cina dan India. Perubahan ekonomi dan sosial ini menjadikan kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang dan lain-lain yang dulunya lebih bersifat majoriti penduduk Cina sekarang sudah berubah menjadi berbilang kaum dengan bertambah ramainya penduduk Melayu. Pembandaran yang pesat ini telah mendorong pergaulan yang lebih kerap antara berbagai kaum di negara kita.
2. Tanah: Dulu di zaman penjajah, hanya orang Melayu yang mempunyai geran khas atas tanah di samping wujudnya Tanah Simpanan Melayu. Orang Cina dan India hanya diberikan tanah TOL, iaitu Lesen Tumpangan Sementara. Dalam masa Perang Anti-British, kira-kira 1.5 juta penduduk, kebanyakannya orang Cina dipindahkan secara paksa ke dalam kem-kem kurungan yang kemudian berubah menjadi "kampung baru". Selepas merdeka, berjuta-juta penduduk dipindah memasuki rancangan kemajuan tanah seperti Felda, Felcra, Kesedar, Ketengah, Dara, Kejora, Projek Johor Barat serta Jengka Tiga Segi. Rancangan-rancangan tanah ini kebanyakannya disertai oleh orang Melayu, namun dalam masa kebelakangan ini, lain-lain kaum juga diterima masuk menyertainya. Melalui perjuangan berjangka panjang, orang Cina dan India juga beransur-ansur diberi hak milik atas tanah dengan mendapat geran kekal, bukan lagi semata-mata tanah TOL. Ini membawa perubahan kepada perkembangan bangsa di negara kita.
3. Bahasa: Bahasa merupakan salah satu syarat terpenting bagi perhubungan dalam bangsa itu. Sebelum merdeka, berbagai kaum menggunakan bahasa Melayu pasar sebagai alat berhubung dan bergaul. Kalangan yang berpendidikan barat pula menggunakan bahasa Inggeris. Selepas merdeka, seiring dengan perkembangan ekonomi, politik dan sosial dan demi memenangi sokongan orang Melayu, kerajaan telah mengembangkan pendidikan dalam bahasa Melayu yang telah diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan. Kini bahasa Melayu sudah diterima dan digunakan secara merata sebagai bahasa umum oleh rakyat berbilang kaum. Dengan demikian, sudah terdapat bahasa bersama yang digunakan secara luas oleh rakyat berbagai kaum dan lapisan negara kita. Taraf bahasa juga lebih teratur, bukan lagi semata-mata bahasa pasar.
4. Kebudayaan dan Kesenian: Kebudayaan dan kesenian mencerminkan wajah mental sesuatu bangsa itu. Di negara kita berbagai kaum umumnya hidup secara bercampur dan pergaulan antara rakyat berbagai kaum amat kerap dan merupakan perkara harian baik di tempat kediaman, tempat kerja, sekolah, pasar, tempat hiburan dan lain-lain. Melalui kehidupan bersama tersebut rakyat berbagai kaum di samping memelihara kebudayaan dan kesenian baru yang mencerminkan unsur-unsur berbilang kaum serta penghidupan baru bersama. Selain itu dalam berbagai hari raya tradisional kaum masing-masing, berbagai kaum ikut serta. Dalam acara-acara kesenian seperti nyanyian, tarian, pementasan drama, deklamasi sajak, lakonan filem dan lain-lain serta acara-acara sukan terdapat unsur percampurgaulan antara berbagai kaum. Ini adalah satu perkembangan baru melalui proses integrasi semula jadi dan asimilasi semula jadi selepas kemerdekaan. Selain itu di segi agama pula Islam sudah bersebati dengan jiwa orang Melayu sejak 600 tahun dulu. Kini, melalui perkembangan masyarakat selepas kemerdekaan, ramai pula orang daripada kaum-kaum lain memeluk agama Islam, misalnya Orang Asli serta orang-orang keturunan Cina dan India. Ini berlaku sama ada melalui perkahwinan campur atau melalui penukaran agama secara sukarela. Jelaslah ini mencerminkan wajah baru bangsa Melayu. Kita boleh meramalkan 30 tahun mendatang, bangsa Malaya atau bangsa Malaysia yang benar-benar berwajah baru akan berkembang di negara kita.
Satu unsur penting dalam pembentukan bangsa ialah kesedaran nasional iaitu pengakuan diri atau kesedaran diri sebagai tergolong dalam kesatuan bangsa itu. Di negara kita ini merupakan satu syarat perlu yang belum dapat dipenuhi dan diwujudkan sepenuhnya, dalam erti kata rakyat berbagai kaum belum sepenuhnya menganggap diri mereka pertama-tama sebagai bangsa Malaya atau Malaysia melainkan lebih menitikberatkan kesedaran kaum sendiri dahulu. Ini adalah akibat wajar daripada polisi perkauman. Pihak berkuasa bukan saja melaksanakan diskriminasi kaum, tetapi juga mengamalkan sistem politik perkauman di Malaya parti-parti utama dalam pemerintahan UMNO, MCA, MIC adalah parti politik perkauman yang menggunakan sentimen kaum masing-masing. Penindasan kaum, diskriminasi kaum serta pelaksanaan sistem perkauman ini adalah penghalang utama bagi perpaduan erat antara kaum serta perpaduan nasional. Hanya parti-parti politik patriotik-demokratik yang dengan konsisten menegaskan perpaduan antara kaum dan kesedaran nasional yang melampaui tempurung sempit kaum masing-masing di kalangan rakyat berbagai kaum negara kita.
24 Julai 1988
Tiada ulasan:
Catat Ulasan