(1 September 1957)
Persekutuan Tanah Melayu telahpun dengan megahnya mengisytiharkan kemerdekaan. Ini adalah lembaran baru dalam sejarah Malaya. Ini bukanlah kurniaan dari sesiapa bahkan adalah buah hasil dari perjuangan yang panjang tempohnya serta susah payah dari berbagai-bagai kaum, berbagai-bagai golongan, berbagai-bagai parti politik dan oleh orang-orang perseorangan. Parti Komunis Malaya telah membayar harga yang mahal dan memberi sebesar-besar sumbangan terhadap perjuangan yang mulia itu untuk kemerdekaan bangsa. Dalam hal ini, Parti Komunis Malaya berserta dengan rakyat seluruh negara pun merayakan dengan meriah juga atas lahirnya kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu.
Umum mengetahui bahawa, lahirnya Persekutuan Tanah Melayu itu hanyalah langkah yang pertama dari kemenangan dalam usaha kemerdekaan negara kita, dan masih jauh lagi daripada kemerdekaan yang sepenuhnya. Warisan penjajahan masih mendalam lagi di lapangan politik, iktisad, ketenteraan dan kebudayaan negara kita. Tugas besar dan berat yang bersifat jangka panjang masih terbentang di hadapan kita, iaitu terus berjuang untuk mewujudkan Malaya baru yang merdeka penuh, bebas dan demokratik serta aman dan makmur. Untuk melaksanakan tugas yang besar ini, bukanlah saling berbunuh-bunuhan dan perkelahian dalam negeri, bahkan sebaliknya perlulah adanya perpaduan, persamaan dan saling tolong menolong di kalangan rakyat dari segala kaum di dalam negara kita; bukanlah memberi untung kepada si penjajah, malahan ialah menamatkan peperangan bagi melaksanakan keamanan dalam negeri; bukanlah melanjutkan darurat dan menyekat kebebasan rakyat, malahan mengamalkan demokrasi dan menggerakkan tenaga raksasa rakyat. Dengan terlaksananya perpaduan kebangsaan, kebebasan dan demokrasi serta keamanan dalam negeri itulah syarat yang pokok bagi menciptakan Malaya baru yang merdeka penuh.
Negara kita sedang menghadapi dua persimpangan jalan. Satu di antaranya ialah melalui perpaduan bangsa, menamatkan peperangan dan mengamalkan demokrasi, yang akhirnya kelak akan terdiri sebuah Malaya baru yang merdeka penuh, bebas dan demokratik, aman dan makmur dari usaha bersama oleh rakyat segala kaum di dalam negeri kita; yang satu lagi ialah membiarkan si penjajah melaga-lagakan kaum-kaum Melayu, Tionghua dan India, meneruskan peperangan dan darurat dan menyekat kebebasan rakyat. Akibat dari jalan ini berertilah terus memelihara hak-hak istimewa si penjajah di dalam negeri kita, sementara itu maka Malaya akan tetap diperhamba dan tidak akan dapat memelihara kemerdekaan dan hak kedaulatan dalam hal ehwal luar negeri, dan di dalam negeri pula, Malaya akan berada dalam keadaan berbunuh-bunuhan, kemiskinan dan kemunduran.
Rakyat dari segala kaum di dalam negara kita ini mestilah giat berjuang untuk melaksanakan jalan yang pertama tadi.
Dalam masa yang lampau dan juga dewasa ini, Parti Komunis Malaya telahpun berjuang terus menerus berganding bahu dengan segala kaum di dalam negara kita untuk mencapai kemerdekaan yang penuh, demokrasi, keamanan dan kemakmuran bagi Malaya. Bertalian dengan maksud ini maka kami khususnya mengajukan usul pokok seperti berikut di bawah ini, yang bersendikan atas semangat MANIFESTO PARTI KOMUNIS MALAYA yang telah disiarkan pada tanggal 22, bulan Disember 1955, dan kami dengan ikhlasnya berharap bahawa rakyat segala bangsa di dalam negara kita mahu diterimanya dan mendesak pemerintah supaya dijalankan:
--- Memperkukuhkan dan menyelamatkan kedudukan kemerdekaan negara kita:
Menjalankan dasar luar yang merdeka menentukan haluan sendiri. Aman dan tidak memihak, mengadakan perhubungan diplomatik dengan segala negara. Menentang perang, mempertahankan perdamaian dan jangan mencampuri sebarang ikatan ketenteraan, bersatu dan bekerjasama dengan negara-negara Asia – Afrika; mendorong percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu.
---Menggalakkan perpaduan dan saling bantu membantu di antara orang-orang Melayu, Tionghua dan India serta lain-lainnya. Dengan bangsa Melayu sebagai terasnya, memelihara hak-hak dan kepentingan yang selayaknya bagi segala bangsa di dalam negeri ini.
---Menjamin hak-hak demokrasi dan kebebasan rakyat, membebaskan orang-orang salah politik yang cinta tanah air di seluruh negara; segala parti-parti politik dan badan-badan pertubuhan rakyat yang menumpukan taat setianya kepada ibu pertiwi – Persekutuan Tanah Melayu, haruslah memperoleh kedudukan yang halal.
---Memelihara dan memperkembang perindustrian kebangsaan, pertanian dan perusahaan, memaju dan memperkembang kebudayaan, menjalankan pelajaran yang meliputi, dan memperbaiki kehidupan rakyat.
---Menamatkan peperangan, membatalkan Undang-undang Darurat, dan mewujudkan perdamaian dalam negeri.
Harus dijelaskan, bahawa dewasa ini menamatkan peperangan, menamatkan darurat dan mewujudkan keamanan dalam negeri adalah tugas yang paling mendesak bagi rakyat segala bangsa di seluruh negeri ini. Jika peperangan ini tidak ditamatkan dan darurat tidak diakhiri, maka rakyat dari segala bangsa di negeri kita ini tidak akan mungkin dapt hidup bersama dalam damai, dan negara kita akan terus menderita bencana penjajahan, dan cita-cita suci untuk pembangunan ibu pertiwi kita pun akan menjadi hampa layang.
Parti Komunis Malaya, sejak dari hari tertubuhnya lagi adalah tenaga yang tegas dalam menentang penjajahan dan bertekun kerana kemerdekaan Malaya. Dalam masa pendudukan Jepun, kita berserta dengan rakyat di negeri kita telah melancarkan perjuangan bersenjata menentang Jepun. Sejak dari tahun 1948, Parti Komunis Malaya sekali lagi telah dipaksa melancarkan perjuangan bersenjata menentang penjajah British selama 9 tahun. Peperangan yang seperti itu ialah dipaksakan oleh penjajah British ke atas rakyat segala bangsa di negeri kita serta ke atas Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya sejak dari dulu hingga sekarang, tidak putus-putusnya menentang perbuatan berbunuh-bunuhan di antara rakyat dari segala bangsa di dalam negara kita. Parti Komunis Malaya telah tidak putus-putusnya menganjurkan perpaduan di dalam negara kitaa, bersatu padu di antara orang-orang Melayu, Tionghua dan India serta lain-lainnya mengadakan ikatan dari pelbagai golongan di dalam negara kita agar supaya berjuang bersama-sama untuk mencapai kemerdekaan bangsa. Parti Komunis Malaya tidak mahu menyembunyikan kepercayaan dalam cita-cita komunizem, akan tetapi kami sentiasa berpendapat bahawa tugas Malaya dewasa ini bukanlah melaksanakan komunizem dan sosializem, malahan adalah mewujudkan kemerdekaan bangsa, demokrasi, kebebasan, keamanan dan kemakmuran.
Tanggal 22 bulan Disember tahun 1955, Parti Komunis Malaya telah mengeluarkan sebuah manifesto untuk memperjuangkan kemerdekaan, demokrasi dan keamanan Malaya, dan telah menerangkan keinginan yang ikhlas untuk menamatkan peperangan Malaya. Perundingan di Baling telah berlangsung pada hujung tahun tersebut. Semasa perundingan tersebut, wakil dari parti kami, Chin Peng telah sekali lagi mengemukakan usul-usul yang menasabah bagi menamatkan peperangan itu. Yang mendukacitakan ialah, bahawa perundingan itu tidak pun membuahkan hasil, kerana masa itu Malaya belum merdeka lagi. Dari itu, maka peperangan pun berjalanlah terus-menerus.
Akan tetapi, kini Malaya sudah merdeka. Dari itu, Parti Komunis Malaya sekali lagi merayu sebagai berikut:
Tamatkanlah peperangan dengan segera, wujudkanlah keamanan di dalam negeri!
Untuk menghadapi tujuan ini, Parti Komunis Malaya sekali lagi mengeluarkan pernyatan sebagai berikut:
Kami mahu memberhentikan perjuangan bersenjata ini, menumpukan taat setia kami sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat-rakyat yang lain di dalam negeri kita terhadap ibu pertiwi - Persekutuan Tanah Melayu dan mengambil bahagian di dalam segala rupa gerakan untuk kemerdekaan, demokrasi dan kemakmuran Malaya, bukanlah dengan cara perjuangan bersenjata atau kekerasan, malahan dengan cara jalan demokrasi di dalam lingkungan batas-batas Perlembagaan. Adalah kewajipan dan hak tiap-tiap warganegara mengambil bahagian di dalam gerakan seperti itu; tidaklah beralasan barang sedikitpun merampas hak yang tersebut tadi dari seseorang warganegara, apatah lagi merampas hak tersebut tadi dari sebahagian warganegara yang telahpun bersusah payah berjuang dan memberi pengorbanan yang gagah berani untuk kemerdekaan tanah air.
Kami yakin bahawa peperangan ini boleh ditamatkan dan keamanan dalam negeri dapat diwujdukan. Adalah sangat merbahaya kepada tiap-tiap bangsa, golongan, parti-parti politik dan orang-orang perseorangan di dalam negeri ini sekiranya peperangan dan darurat akan diteruskan juga. Ini hanya berfaedah kepada si penjajah yang sangat-sangat suka merintangi kemerdekaan, demokrasi, kebebasan, keamanan dan kemakmuran Malaya. Ini sama sekali tak dapat dibiarkan oleh rakyat dari pelbagai bangsa di negara kita.
Bersatulah rakyat segala bangsa di dalam negara kita supaya berjuang untuk menamatkan peperangan, mewujudkan keamanan dalam negeri dan menciptakan negara kita menjadi negara baru yang merdeka penuh, demokratik, bebas, aman dan makmur.
Pada tanggal 1 September 1957
Jawatankuasa Pusat
Parti Komunis Malaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan