Pada 11.10.09 , apabila keputusan PRK Bagan Pinang diumumkan, ramai yang telah dapat mengagak bahawa BN akan menang . Akan tetapi peningkatan majoriti BN di Bagan Pinang telah mengejutkan penyokong dan juga pimpinan Pakatan Rakyat. Manakala kem BN pula mula mengatakan rakyat telah kembali ke BN terutamanya pengundi bukan Melayu.
What went wrong?
Kenapa keadaan ini berlaku? Betulkah pengundi telah tertarik dengan pemerintahan Perdana Menteri Datuk Sri Najib dan suka sangat dengan Isa ?
Ataupun kemenangan ini adalah kerana kelemahan PR ?
Sebagai sukarelawan untuk Pakatan Rakyat semasa kempen PRK Bagan Pinang yang telah mula berkempen sebelum tarikh percalonan lagi, saya ingin berkongsi pandangan dan pengalaman saya kenapa PR kalah.
Antara sebab utama PR kalah ialah kerana kempen Pakatan Rakyat mengikut rentak kempen BN. Contohnya pemberian beras, Sari, Hamper, memasak kari kambing untuk menandingi rasuah pilihanraya BN yang memberi rice cooker, duit, hamper dan banyak lagi barang untuk menyogok pengundi. Dahlah kita menuduh BN rasuah. Maka kenapa kita juga ikut cara mereka. Bukankah memberi barangan dan hadiah semasa pilihanraya adalah sogokan untuk membeli undi dan satu kesalahan pilihanraya?
Kalau PR memang hendak memberi satu kerajaan yang bersih , kita tidak sepatutnya ikut rentak BN. Maka bila rakyat lihat, sama-sama cuba sogok, maka undi diberikan untuk sogokan yang lebih. Itu yang berlaku di Bagan Pinang, terutamanya di ladang-ladang yang mempunyai undi yang kritikal yang boleh menentukan keputusan pilihanraya. Adakah ini yang PR mahu ?
Apakah PR fikir sama macam BN bahawa masalah utama rakyat seperti gaji rendah, kemiskinan, kemelesetan ekonomi, masalah perumahan boleh dilupakan dengan pemberian sebegini? Tidakkah Pakatan Rakyat ingat masalah asas rakyat harus diberi perhatian sekiranya hendak menarik undi rakyat ? Apa telah jadi kepada semangat pembaharuan ( Change ) yang dijanjikan PR ?
Keluhan Rakyat
Lagi satu isu ialah ; memang rakyat mengetahui Isa bukannya orang yang bersih dan memang ada banyak kes rasuah keatasnya. Namun mereka masih mengundinya. Mengapa keadaan ini berlaku? Pertama, Isa merupakan orang tempatan di Bagan Pinang dan mempunyai reputasi baik di Bagan Pinang. Selepas kedatangan Isa, Port Dickson telah membangun dengan pesat dengan ramai warga tempatan mendapat peluang pekerjaan di hotel-hotel PD. Kedua, Isa merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dan pengundi mengenali beliau.
Ketiga, calon PAS bukan orang tempatan walaupun dia adalah satu calon yang baik dan berkaliber tetapi pengundi tidak mengenalinya. Kerja-kerja akar umbi parti dan bakal calon di kawasan yang ditandingi akan memberi gambaran yang jelas kepada rakyat. Jika seorang calon bertanding tanpa melakukan kerja-kerja akar umbi di kawasannya, akan memberi gambaran kepada Rakyat bahawa beliau hanyalah calon pilihan raya. Rakyat perlu mengetahui mengenai wakil yang akan mereka pilih dan bukan memilih secara membuta tuli. Kalau calon tidak dapat buat kerja , sekurang-kurangnya parti harus giat bersama akar umbi.
Akan tetapi banyak keluhan rakyat ialah PR juga adalah sama seperti BN. Ini kerana MP Teluk Kemang, YB Kamarul (PKR) tidak pernah datang melawat mereka atau mendengar masalah penduduk ladang sejak beliau menang dalam Pilihanraya Umum ke 12 . Ini menunjukkan kelemahan wakil PR dalam berkhidmat kepada rakyat.
Sebelum penamaan calon, saya bersama kawan-kawan dari PSM dan JERIT telah melakukan satu survey di ladang-ladang Bagan Pinang iaitu di Ladang Salak (Atherton), Ladang Bradwall, Ladang Siliau dan Ladang Sua Betong bersama divisionnya Ladang Sungai Ujong. Dari survey ini kami mendapati kesemua ladang ini mempunyai masalah yang sama iaitu:
1. Ramai penghuni ladang telah berpindah ke kawasan baru. Hanya tinggal beberapa pengundi dan lainnya merupakan pekerja asing.
2. Gaji yang rendah. Selama 52 tahun di bawah pemerintahan BN, pekerja ladang masih mendapat gaji di bawah paras kemiskinan. Di ladang yang kami lawati, pekerja masih mendapat gaji RM 300.
3. Ramai warga ladang telah dihentikan dan diberi kerja kepada pekerja asing. Di mana, gaji pekerja asing lebih murah.
4. Masalah pengangkutan awam dan kemudahan awam
Terdapat satu pandangan daripada penduduk ladang bahawa, PR juga datang sebagai calon pilihan raya sahaja ke ladang-ladang. Masalah penduduk ladang tidak dibincangkan. Ramai penceramah yang datang ke ladang membincangkan isu kepala lembu, isu Perak, isu Parti Makkal Shakti tetapi mereka gagal membincangkan masalah asas penduduk ladang.
Terdapat beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang sangat confident, pengundi ladang akan memilih Pakatan Rakyat dan PR akan menang di kesemua Ladang-ladang di DUN Bagan Pinang. Tetapi penduduk ladang telah memberikan undi mereka kepada BN kerana kegagalan PR sebagai pilihan alternative menangani masalah rakyat setempat. PR harus ingat , bukan pada kesemua masanya isu nasional akan memberi undi di PRK. Isu rakyat setempat dan isu harian mereka seperti pekerjaan, kemiskinan dan makan-minum seharian harus diberi perhatian dan langkah harus diambil untuk menanganinya. .
Mungkin ada yang berpendapat BN pun sama apa , maka kenapa undi BN? Memang betul BN sama, tetapi , rakyat sudah kenal dia memang sebegitu , so mereka dah biasa, kalau PR pun sama buat apa nak tukar undi. Kan lebih baik undi BN , kerana dia beri duit lebih dan barang lebih. Itu kata pengundi biasa yang kasi pagi makan pagi, kasi petang makan petang. Boleh kita menyalahkan pengundi yang hidup susah ini ?
PR harus ingat, ia tidak boleh leka dengan sokongan rakyat. PR harus membuktikan bahawa ia berbeza dari BN dan ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat dan bukannya manis di bibir sahaja macam BN. Kalau tidak rakyat yang menyokongnya dalam pilihanraya lepas akan hilang kepercayaan dan kembali mengundi BN atau tidak mengundi langsung.
Saya dengan ikhlas berkongsi pandangan disini dengan harapan kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi oleh PR dalam menghadapi PRK yang akan datang dan PRU-13. Sekiranya PR yang membawa agenda “PERUBAHAN” tidak mengubah caranya dan memberi satu alternatif yang boleh dipercayai oleh rakyat maka dengan propaganda dan polisi-polisi popular Najib sekarang , rakyat mungkin akan kembali ke BN sepertimana yang berlaku di Bagan Pinang. Saya harap kekalahan di Bagan Pinang akan mengejutkan kepimpinan PR untuk mengukuhkan kerjasama mereka dan memastikan dalam setiap masa isu dan masalah rakyat diutamakan. Tiada short-cut dalam memenangi hati rakyat, perlu kerja keras.
Salam perjuangan
Nithiyavani
JARINGAN RAKYAT TERTINDAS (JERIT)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan