THE INTERNATIONALE

free counters
COUNTER THE INTERNATIONALE INI MULA BEROPERASI PADA 17 DECEMBER 2009

AHLI KELAB SOSIALIS HIJAU

JIKA PAS JOIN UMNO ADAKAH ANDA AKAN

PANAS !! Nantikan siri-siri Pendedahan Jahat Mereka

Ahad, 9 Ogos 2009

Dr. Burhanuddin Al-Helmy – Pejuang Nasional yang Agung


Dipetik dari Memoir Abdullah C.D.
Bahagian Pertama: Zaman Pergerakan Sehingga 1948, diterbitkan oleh SIRD


Dr. Burhanuddin Al-Helmy, pejuang kemerdekaan yang besar dan tokoh nasional yang agung dilahirkan dalam satu keluarga tani di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911. Bapanya, Hj. Muhammad Noor berasal dari Sumatera, dikatakan dari keturunan bangsawan. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Baharu, Perak. Pada 1928, beliau melanjutkan pelajarannya ke Ismailliah Medical Collage New Delhi, India. Kemudian pernah pergi ke Turki dan ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana.

Beliau adalah seorang pemimpin yang disegani kawan dan lawan. Apabila Ibrahim Yaacob, Mustapha Hussein dan lain-lain menubuhkan KMM, beliau telah menyertai dan bersama-sama memainkan peranan memimpin dalam pertubuhan tersebut. Patut disebutkan bahawa KMM adalah parti politik Melayu yang pertama yang bercita-cita memperjuangkan kemerdekaan di atas dasar perpaduan aliran nasionalis, agama dan sosialis. Dr. Burhanuddin Al-Helmy kemudiannya bersama-sama Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhamad (Pak Sako) dan lain-lain menubuhkan PKMM yang merupakan sebuah parti progresif kesinambungan dari KMM yang juga berpegang pada prinsip nasionalis, agama dan sosialis dan berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pejuang kemerdekaan yang tidak kenal tunduk dan juga seorang ulama besar dan berpandangan jauh. Dengan berpegang teguh pada prinsip nasionalis, agama dan sosialis, beliau telah menggembleng tenaga nasionalisme, agama dan sosialisme ke dalam wadah perjuangan untuk kemerdekaan ibu pertiwi. Demi perjuangan besar ini, beliau telah membentuk PUTERA pada tahun 1947. Gabungan badan-badan politik Melayu progresif ini telah membentuk front persatuan dengan AMCJA. Gabungan badan progresif Melayu dan bukan-Melayu ini menjadi satu badan front persatuan bersifat nasional yang kuat dan julung-julung kali berlaku dalam sejarah tanah air. Akan tetapi, kerana perkembangan kekuatan patriotik-demokratik ini telah memberi ancaman hebat ke atas kekuasaan penjajah, ia telah diharamkan oleh British dalam Undang-undang Darurat.

Ketika saya menganggotai KMM, saya hanya kenal namanya sahaja. Pada masa Perang Dunia Kedua, saya selalu pergi ke pejabat KMM di Taiping, tetapi tidak pernah bertemu dengan beliau. Saya menemui beliau di Ipoh setelah tamat perang, semasa kami sama-sama berusaha menjalankan propaganda dan menyebarkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat Melayu. Cita-cita yang sama ini telah mempereratkan hubungan kami seterusnya sebagai kawan seperjuangan. Kami telah berganding bahu mengharungi pahit manis dan suka duka dalam perjuangan untuk membangkitkan seluruh masyarakat demi kemerdekaan tanah air. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau ialah dalam masa menjelang perisytiharan darurat pada tahun 1948. Kami bertiga iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dan saya membincangkan masalah perjuangan kemerdekaan yang menghadapi tekanan hebat setelah terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu oleh penjajah British. Dalam perbincangan itu kami bertiga berpendapat bahawa perjuangan melalui undang-undang sudah tertutup, maka haruslah melalui revolusi bersenjata. Oleh sebab itu kami memutuskan untuk bersiap melakukan revolusi bersenjata, melawan British. Saya dan Ahmad Boestamam akan melakukan perjuangan bersenjata, manakala Dr. Burhanuddin Al-Helmy pula akan bergerak di dalam masyarakat mengembangkan gerakan kemerdekaan dan menyokong perjuangan bersenjata.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy merupakan tulang belakang dalam penubuhan Partai Rakyat Malaya pada 1955 dan pada tahun 1956, beliau juga telah dipilih menjadi Yang Dipertua Agung PAS. Beliau telah memimpin PAS mencapai perkembangan yang cemerlang.

Beliau pernah beberapa kali ditangkap kerana kegiatan politiknya yang menginginkan kemerdekaan penuh nusa dan bangsa. Pada tahun 1937, beliau dipenjarakan oleh penjajah British kerana menerbitkan majalah Taman Bahagia yang menyebarkan semangat merdeka; pada tahun 1950-1953 dipenjarakan oleh penjajah British kerana memimpin masyarakat Melayu melancarkan perjuangan menentang keputusan mahkamah kerajaan British di Singapura dalam kes Natrah; dan pada tahun 1965-66 dipenjarakan oleh Kerajaan Tunku Abdul Rahman kerana dituduh melakukan kegiatan anti-Malaysia. Akibat dari seksaan di dalam penjara, beliau telah mengidap penyakit dan meninggal dunia pada 25 Oktober 1966.

Pemergian beliau merupakan kerugian besar bagi gerakan patriotik-demokratik. Mengenang sumbangan beliau yang besar kepada kemerdekaan tanah air, saya dan kawan-kawan lain dari Rejimen Ke-10, kader-kader bawah tanah dan bekas anggota PKMM menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner (PKMRM) pada tahun 1981. Penubuhan PKMRM bercita-cita menyambung semula perjuangan KMM dan PKMM yang diterajui Allahyarham Dr. Burhanuddin Al-Helmy, agar semangat dan cita-cita beliau sentiasa bersinar-sinar dari generasi ke generasi.



senikata lagu mengenangi Dr. Burhanuddin:

DR. BURHANUDDIN AL-HELMY
Pencipta: Black

Kuciptakan lagu untukmu,
Kunyanyikan syair buatmu,
Tentang perjuangan,
Tentang pengorbanan.

Kau yang bertubuh kecil,
Tetapi berjiwa besar,
Tegas pendirian,
Dan berhati mulia.

Dari utara hingga selatan,
Lantang suaramu,
Menentang penjajahan,
Melawan penindasan.

Demi untuk negara,
Demi untuk merdeka,
Kebebasanmu dirampas,
Tetapi, jiwamu … tetap merdeka.

Chorus:
Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Kata-kata azimat darimu,
Tak pernah kami lupa.

Walaupun kini jasadmu telah tiada,
Namun semangatmu membakar jiwa,
Rakyat Malaysia yang tak pernah melupakan,
Pengorbananmu (perjuanganmu).



Sedikit Tentang Riwayat Hidup Dr. Burhanuddin

dipetik dari Suluh Rakyat Jilid 1 Bilangan 1, Ogos 1981 - ihsan Muzium Sejarah Kampung Perdamaian Sukhirin

Tiada ulasan: