Tuan Guru Dato’
Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.
Mursyidul Am
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan,
Kelantan Darul Naim.
29 jun 2009
Assalamualaikum wbt.
Tuan Guru,
Semoga di ketika ini Tuan Guru berada di dalam keaadaan sihat sejahtera dan di beri kemudahan oleh yang maha Esa di dalam menjalankan pentadbiran negeri serta di beri kesihatan yang baik olehNya untuk Tuan Guru menerusakan usaha dakwah yang tiada penghujungnya selagi hayat di kandung badan.
Tuan Guru,
Mungkin di saat Tuan Guru membaca warkah ini isu yang hendak di bicarakan ini sudah menjadi basi, namun begitu saya tetap juga meluangkan diri untuk menulis warkah ini kerana merasakan kenyataan Tuan Guru dengan menyamakan kekejaman dan kekejamanUMNO dengan parti komunis dan sosialis adalah sama sekali tidak betul. Pertama kalinya saya memohon maaf kiranya isi warkah ini akan tersasar dari fungsi ilmu yang tidak saya miliki berbanding dengan ketokohan Tuan Guru. Apatah lagi sekiranya bicara yang akan menyusul nanti berkait dengan ilmu dan aqidah islam. Namun begitu sebagai seorang yang manusia saya berkeyakinan bahawa kita semua ini sudah pasti ada cacat celanya. Sudah pasti kita yang bernama insan ini mempunyai kelemahan. Bertepatanlah kita yang di jadikan Tuhan ini bergelar hamba kepada yang menjadikan.
Tuan Guru yang di kasihi,
Seminggu lalu heboh di dada akhbar tentang bantahan UMNo terhadap kenyataan Tuan guru menyamakan UMNO dengan komunis dan parti sosialis. Dalam ucapan Tuan Guru, Tuan guru telah menyatakan bahawa umno itu sesat seperti Ayah Pin, zalim seperti komunis dan tidak percayakan tuhan seperti parti sosialis. Saya ingin bertanya kepada Tuan Guru darimanakah Tuan Guru mendapat fakta ini. Apakah minda Tuan Guru juga masih terjajah dengan pemikiran penjajah. Apakah Tuan guru yang bijaksana ini juga termakan dengan propaganda penjajah? Saya tidak hairan kalau kenyataan seperti ini keluar dari ketua pemuda Pas Batu Kawan kerana dunia sudah sedia maklum bahawa ketua pemuda pas Batu Kawan satu-satunya ketua Pemuda Pas yang tidak cukup akal tetapi jika kenyataan itu keluar dari mulut seorang pemimpin yang mursyid ianya akan menjadi bahan ketawa orang ramai.
Tuan Guru yang bijaksana,
Ketika tuan guru di lahirkan Parti komunis Malaya telah setahun di tubuhkan dan di saat tuan guru berangkat ke India untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1952 di Tanah melayu gerakan menuntut kemerdekaan semakin memuncak. Di ketika Tuan Guru dapat belajar dengan tenang di Universiti, tahukah Tuan Guru srikandi Shamsiah Fakeh terpaksa meninggalkan pengajian agamanya di sekolah pondok Masjid Tinggi Bagan Serai telah bersama-sama menyertai perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Tidakkah Tuan Guru berasa beruntung masih ada insan yang telah sanggup mengadaikan dirinya demi keselesaan orang lain. Abdullah CD, Musa Ahmad, Rasyid Maiden, Abu Samah dan lain-lain telah memilih senjata untuk menghalau penjajah dari tanah air. Boestaman, Dr.Burhanudin, Pak Sako dan pejuang kiri lain telah memilih penjara sebagai implikasi kepada pejuangan mereka. Mereka menentang penjajah, mereka menentang umno dan mereka menentang kezaliman.
Tuan Guru yang di muliakan,
Parti yang Tuan guru pimpin sekarang sebenarnya hanyalah di daftarkan pada 31 mei 1955 untuk menyertai pilihanraya pertama yang di anjurkan oleh pihak British. Menurut Subky Latif pendaftaran Pas telah mendapat kelulusan dalam masa yang cukup singkat, mungkin lebih singkat daripada kelulusan pendaftaran UMNO(Baru) pada tahun 1987. Tahukah Tuan guru (Tuan Guru memang tahu) di saat Pas belum lahir daripada perut UMNO tokoh-tokoh sosialis dan komunis telah ramai yang di penjara malahan sudah ramai yang mati di tali gantung. Mereka ini rela memilih penjara dan kematian daripada bersekongkol dengan penjajah seperti bermuafakatnya UMNO dengan penjajah pada ketika itu. Pas sendiri hanyalah bangun di ketika Tokoh sosialis islam Dr.Burhanudin al helmy memimpin Pas. Menafikan pengorbanan pejuangan rakyat adalah sesuatu cukup menjijikan. Menyamakan perjuangan rakyat dengan perjuangan pro penjajah juga adalah satu perkara yang wajib di kutuk.
Tuan Guru yang rahmati,
Apabila anaknda Tuan Guru di tahan ISA rakyat tanpa mengira fahaman agama telah bersimpati dengan tindakan zalim kerajaan UMNO/BN menahan anaknda Tuan guru. Mereka sama-sama berdemo dan ada yang di tahan kerana membantah akta zalim ini. Mereka-mereka yang membantah itu bukannya hanyalah ahli Pas tetapi semuanya kecuali UMNO. Disaat anaknda Tuan Guru berada di dalam tahanan ISA, dia mendapat pembelaan daripada parti-parti politik, NGO dan orang ramai. Tahukah Tuan Guru (Tuan guru sememangnya tahu) di saat pejuang-pejuang kiri di tahan ISA satu ketika dahulu siapakah yang bangun untuk membantah penahanan mereka? Anaknda Tuan Guru masih beruntung kerana tidak di siksa secara fizikal oleh SB-SB di pusat tahanan jika hendak di bandingkan dengan keperitan tahanan-tahanan di tahun 60an dulu, itu pun tahukah Tuan Guru di kalangan rakan anaknda Tuan Guru yang kononnya pejuang Islam telah menandatangani perjanjian dengan pihak SB untuk sanggup menjadi ajen propaganda UMNO di dalam Parti Tuan Guru pimpin sekarang ini. Dimanakah prinsip Islam yang ada pada rakan anaknda Tuan Turu ini sehinggakan sanggup untuk menjadi talibarut kepada UMNO parti yang Tuan Guru tentang selama ini. Bolehkah Tuan Guru senaraikan tokoh perjuang kiri yang di katakan sesat itu sanggup untuk menjadi agen UMNO?
Tuan Guru yang fakeh,
Saya merasa sedih bila kenyataan Tuan Guru menjadi bahan ketawa orang. Bila mana Tuan Guru menyamakan UMNO dengan sosialisme dan komunisme ianya tealah mengambarkan kerendahan daya intelektual Tuan Guru. Saya merasa hairan bagaimana Tuan Guru boleh terikut-ikut dengan tarian UMNO yang dulu kini dan selamanya menipu rakyat. Apakah rasionalnya Tuan guru menyamakan Sosialisme dan komunisme dengan UMNO. Apakah kekejaman yang telah di lakukan oleh golongan kiri selama Tuan Guru mengenal dunia ini? Betulkah Parti Komunis Malaya itu kejam dan zalim seperti anggapan Tuan Guru? Betulkah golongan mereka yang berpegang kepada prinsip sosialime itu tidak percayakan Tuhan? Atau Tuan Guru sendiri tidak pernah faham apa itu komunisme dan sosialisme? Bukankah Negara kebajikan yang di laung laungkan oleh Parti yang Tuan Guru pimpin itu bertepatan sama sekali dengan konsep sosialisme dan komunisme. Apakah yang di katakan sesat dan zalim itu kerana sosilisme itu memperjuangkan segala perhidmatan seperti perubatan, pendidikan dan keselesaan tempat tinggal untuk rakyat?
Tuan Guru yang mursyid,
Ketika adanya cadangan daripada parti yang bersekutu dengan parti Tuan Guru untuk meletakan Calon mereka Dr. Syed Hussin Ali di Parlimen Kota Baru pada tahun 2004, Tuan Guru dengan sekeras-kerasnya membantah dengan alasan Dr Syed Hussin Ali ialah seorang sosialis. Betapa tegasnya Tuan Guru di dalam isu calon di negeri pimpinan Tuan Guru, tetapi betapa lembutnya hati Tuan Guru bila seorang nasionalis (Betul ke UMNO ni nasionalis?) memohon untuk menumpang di tangga parti Islam hanya kerana mahukan kerusi Pasir Mas. Bukankan Tuan Guru mengatakan semua ideology atau fahaman yang bukan Islam itu sesat? Bagaimana pula Tuan Guru mudah mengubah hukum dengan sanggup memberi kerusi negeri Islam kepada seorang nasionalis yang di katakan assobiayah itu? Bukan Tuan Guru tak tahu selama 6 tahun Dr syed Husin Ali di zalimi oleh ISA. Apa perlu untuk Syed Husin terus berada di dalam tahanan sedangkan di luar beliau boleh saja hidup senang lenang dengan jawatan dan kelebihan intelek yang ada pada dirinya. Apakah Tuan Guru belum sempat membaca pengalaman Dr Syed Husin di dalam buku Dua Wajah karangannya? Jika Tuan Guru telah membacanya terlupakah Tuan Guru berapa kalikah Dr Syed Hussin menolak untuk menandatangani akuan dan syarat pembebasan yang telah di sediakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri? Adalah amat malang seorang tokoh yang cukup berperinsip ini di haramkan untuk bertanding di negeri Kelantan hanya kerana beliau seorang sosialis sedangkan seorang katak yang telah Tuan Guru sedia maklum dari dulu, kini dan selamanya mengkhianati Islam di beri layanan cukup istimewa. Tuan Guru sepatutnya bertanya kepada anaknda Tuan Guru apakah syarat-syarat yang telah di minta oleh SB ketika anaknda Tuan Guru dan rakan-rakanya jika mahu di bebaskan segera. Percayakah Tuan Guru di kalangan rakan-rakan anaknda Tuan Guru ada yang telah menandatangani perjanjian untuk berkompromi dengan pihak SB hanya kerana mahu segera di bebaskan. Ya! sepatutnya Tuan Guru bertanya kepada diri sendiri mengapakah anaknda Tuan Guru paling akhir di bebaskan berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Ini tidak lain hanyalah anaknda Tuan Guru enggan untuk berkerjasama dengan pihak SB tetapi ada antara mereka yang telah sanggup mengadaikan prinsip perjuangan dan sanggup menjadi ajen SB kini telah menjadi pimpinan Pas. Si laknat ini kini telah berjaya menyusup masuk di dalam kepimpinan Pas untuk mencuri maklumat dan memecahbelahkan Pas. Alangkah hinanya seorang yang mengaku pejuang Islam tetapi sanggup mengadaikan perjuangan hanya kerana sedikit ujian. Sayang sekali orang seperti Dr Syed Husin yang berperinsip teguh tanpa boleh di tawarkan dengan kesenangan memlih untuk tidak mengkhianati perjuangan di katakana sesat.
Tuan Guru yang di hormati,
Sebenarnya kami sendiri tidak tahu siapakah yang sebenarnya yang di maksudkan sebagai sesat yang di samakan dengan umno itu. Apakah Tuan Guru maksudkan secara umum atau kepada orang tertentu. Apakah rasionalnya Tuan Guru menyamakan mereka-mereka yang sanggup meninggalkan kesenangan hidup demi menjadi pembela kepada rakyat. Tuan Guru bandingkanlah gaya hidup pemimpin Pas yang tidak sesat itu dengan pimpinan parti haluan kiri seperti Dr Nasir Hasim yang memimpin Parti Sosialis Malaysia sekarang ini. Selama ini rakyat begitu kagum dengan kesederhanaan hidup Tuan Guru tetapi pernahkah mereka menyelami kehidupan pemimpin golongan kiri.
Kami juga tidak tahu kekejaman apakah yang telah dilakukan komunis sehinggakan Tuan Guru berkata UMNO itu kejam seperti komunis. Begitu mudah Tuan Guru termakan propaganda penjajah dan UMNO tentang kekejaman komunis. Apakah sama orang yang menentang penjajah dengan orang yang bersekongkol dengan penjajah? Atau Tuan Guru sendiri keliru dengan itilah komunis itu sendiri.
Tuan Guru Yang Di Sayangi,
Sebagai seorang yang di hormati dan di anggap guru yang mursyid sepatutnya Tuan Guru mendapat sendiri maklumat sahih tentang pergerakan komunis dan perjuangan sosialisme di Malaysia ini. Seorang guru yang mursyid sepatutnya mendapat maklumat yang sahih daripada sumber yang betul sanadnya. Maklumat kini sudah di hujung jari. Layarilah blog-blog yang di kendalikan sendiri oleh anggota PKM untuk mendapat cerita sebenar dari mereka atau Tuan Guru sendiri boleh melawat mereka-mereka yang di katakan sesat dan kejam ini di sebuah perkampungan di selatan Thailand. Jika mereka sesat perbetulkanlah mereka kerana pintu taubat sentiasa terbuka kepada kita hambanya sehinggalah nyawa di hujung halkum. Menuduh orang-orang yang terdahulu yang telah berkorban segalanya untuk apa yang kita dapat pada hari ini adalah tidak adil bagi kita yang mengaku sebagai orang yang berada di jalan yang lurus.
Tuan Guru yang di muliakan,
Akhir kata saya memohon maaf sekira warkah jahil saya ini hanyalah menjadi sampah pejabat Tuan Guru, namun begitu saya tetap merasakan bahawa ucapan Tuan Guru menyamakan UMNO dengan Parti sosialis dan Komunis adalah sesuatu yang sama sekali tidak tepat. Tuan Guru boleh menghukum golongan kiri ini sesat kerana Tuan Guru alim dalam agama tetapi sejarah pengorbanan mereka hanya Allah saja yang akan menilainya. Belum ada pemimpin Pas yang di buru barua-barua penjajah (askar melayu) sehinggakan melahirkan anak di dalam hutan tanpa pakaian sehelai di badannya dan anaknya yang baru lahir itu tetapi Shamsiah Fakeh yang dikatakan sesat dan kejam itu telah lalui semua itu. Apakah Allah tidak tahu?
Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua.
Sekian,
Sosialis Hijau